Translate

08/06/2011

Tiga Penyokong Bola Sepak Terengganu Didakwa Di Mahkamah

View Image

KUALA TERENGGANU, 7 Jun (Bernama) -- Tiga penyokong pasukan bola sepak Terengganu termasuk seorang remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa atas tiga tuduhan berasingan memiliki mercun, membaling sos cili serta memaki polis semasa perlawanan Liga Super Terengganu menentang Kelantan Isnin malam.

Tertuduh Tuan Hasbullah Tuan Abd Razif, 24 dari Tanah Lot Kampung Chepoh didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis yang sedang bertugas kira-kira 11.30 malam di luar kawasan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Syah selepas perlawanan itu.
Dia yang mengeluarkan perkataan 'baliklah polis, berambus serta polis bodoh' didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100.

Tuan Hasbullah yang mengaku bersalah atas tuduhan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Adila Abd Latif kemudian dikenakan hukuman denda sebanyak RM80 atau tiga hari penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum itu, seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta turut didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan memiliki tiga biji mercun bola tanpa lesen yang sah dan merupakan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Che Mohammad Aiman Che Azmi, 19, dari Kampung Banggol Pauh, Seberang Takir yang merupakan pelajar jurusan kimpalan didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 7.30 malam di Pintu F, stadium berkenaan dan mercun itu ditemui polis hasil pemeriksaan di dalam beg sandang yang dibawanya.

Dia yang mengaku bersalah atas tuduhan itu kemudian didenda RM1,000 dan penjara sehari.

Di mahkamah yang sama seorang remaja berusia 17 tahun dari Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payung mengaku bersalah atas tuduhan membaling satu plastik jernih yang berisi sos cili kepada seorang anggota polis yang sedang bertugas semasa perlawanan itu berlangsung kira-kira pukul 10 malam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seskyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga bulan, atau denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Noor Adila bagaimanapun menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp V Ravi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...