Translate

26/06/2011

Keropok Lekor Terpanjang Dicipta Pada Karnival Bank Rakyat Di Kuala Terengganu

View Image

KUALA TERENGGANU, 25 Jun (Bernama) -- Karnival Bank Rakyat Cintai Alam di Dataran Shahbandar di sini pada Sabtu mencatat rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi pembuatan keropok lekor sepanjang 479.4 meter.

Pengarah Urusan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata pembuatan keropok lekor terpanjang itu adalah antara keunikan penganjuran kali ketiga karnival berkenaan di sini, selepas Melaka dan Kedah pada April dan bulan lalu.
Beliau berkata keropok lekor yang dibuat hari ini mengetepikan rekod MBOR yang dicatatkan pada 2006 sepanjang 300 meter.

"Kita gembira dan berbesar hati kerana penganjuran kali ini mencatat rekod dalam MBOR. Kita berterima kasih kepada pengusaha keropok lekor yang mengambil bahagian dalam acara ini," katanya kepada pemberita pada hari terakhir karnival itu yang berlangsung selama dua hari.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang dan wakil MBOR, Leona Paul.

Katanya keropok yang dihasilkan itu akan dijual kepada orang ramai dan hasil jualan akan diserahkan kepada badan kebajikan yang memerlukan.

Pembuatan keropok lekor terpanjang dengan ketebalan 6.5 sentimeter itu menggunakan 1,200 kilogram campuran beberapa jenis ikan dengan kos RM4,000 dan 850 kilogram tepung sagu yang dikisar selama dua jam untuk menghasilkan adunan itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Industri Keropok Warisan (Trg) Sdn Bhd, Mohd Zaman Muda berkata keropok itu menggunakan isi ikan tamban, ikan selayang dan ikan lolong segar.

Sementara itu, Adzlan berkata pihaknya berbesar hati dengan inisiatif penganjur karnival untuk mengadakan acara itu dan ia secara tidak langsung dapat membantu mempromosi satu lagi produk pelancongan negeri ini kepada pelancong dalam dan luar negara.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...