JAKARTA, 23 Jun (Bernama) -- Seorang juruterbang Malaysia terbunuh apabila pesawat ringan yang dipandunya dalam pertunjukan aerobatik di Minang Aerosport 2011 terhempas di tanah lapang Kompleks Perundam III Tunggul Hitam, Padang, Sumatera Barat, Khamis.
Juruterbang itu dikenali sebagai Kolonel (B) Zakaria Salleh, 56, dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor.
Kedutaan Besar Malaysia di sini mengesahkan laporan itu dan usaha sedang dilakukan untuk menguruskan penghantaran pulang jenazahnya ke Malaysia.
Konsul General Malaysia di Medan, Norlin Othman berkata pesawat yang dipandu Zakaria ialah dari jenis Cristian Eagle dengan nombor pendaftaran N21H dan kejadian berlaku pada pukul 5.24 petang waktu tempatan.
Difahamkan bahawa sejumlah lapan pesawat dari Malaysia termasuk pesawat malang itu mengambil bahagian dalam pertunjukan udara itu.
Pesawat lain ialah empat buah dari jenis C172, dua pesawat C150 dan satu pesawat PA28.
Menurut laporan media tempatan yang memetik seorang saksi, pesawat Eagle itu sedang melakukan aksi aerobatik apabila ia tiba-tiba jatuh menjunam ke tanah.
Pesawat malang itu juga dilaporkan mengeluarkan asap tebal sebelum menjunam ke tanah lapang di Jalan Galaksi.
Sejurus kemudian anggota polis dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) mengeluarkan mangsa dan terus membawanya ke Hospital M Djamil, Padang.
Polis Padang berkata Zakaria yang cedera parah meninggal dunia di hospital.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata Allahyarham Zakaria merupakan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kini bertugas sebagai juruterbang eksekutif syarikat penerbangan Berjaya Air.
Allahyarham berasal dari bandar Country Homes, Rawang, dan telah menyertai Berjaya Air sejak empat tahun lepas dan semasa bertugas dengan TUDM, Allahyarham merupakan kapten pasukan aerobatik, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.
Difahamkan isterinya yang hanya dikenali sebagai Laila telah berada di Padang, Sumatera sebaik mengetahui kemalangan maut suaminya.