Translate

25/06/2011

Dua Pendaki Negara Berjaya Tamatkan Misi Tawan Tujuh Puncak Tertinggi Dunia

View Image

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Dua pendaki Persatuan Kembara Negara berjaya menamatkan misi mereka untuk menawan tujuh puncak tertinggi dunia apabila mereka berjaya sampai ke puncak gunung McKinley di Alaska, Amerika Syarikat Jumaat.

Menurut kenyataan persatuan itu kedua-dua pendaki berkenaan, Ahmad Fakhri Abu Samah dan Ahmad Reduan Rozali sampai di puncak gunung McKinley pada ketinggian 6,198 meter dari aras laut.
Menurut kenyataan itu, mereka merupakan pendaki yang pertama dari Malaysia dan Asia berjaya melaksanakan misi menawan puncak tertinggi di setiap benua.

Gunung McKinley merupakan gunung yang terakhir dalam siri menawan tujuh puncak tertinggi dunia itu.

Mereka memulakan "program seven summit" itu pada 2005 dan telah menawan puncak Gunung Kosciuszko di Australia bagi kawasan Oceana, gunung Kilimanjaro di Tanzania bagi benua Afrika (2006), Gunung Everest bagi benua Asia (2007), Gunung Elbrus di Russia bagi benua Eropah, Gunung Vinson Massif bagi benua Antartika (2010), Gunung Aconcagua di Argentina bagi benua Amerika Selatan (Mac 2011) sebelum gunung McKinley bagi benua Amerika Utara.

Menurut kenyataan itu, berita gembira itu diterima oleh presiden persatuan Datuk Khalid Yunus menerusi panggilan telefon oleh Ahmad Fakhri dari puncak gunung McKinley jam 11.30 pagi waktu Malaysia.

Khalid berharap kejayaan kedua-dua pendaki ini akan mencetuskan inspirasi kepada pendaki-pendaki gunung dari Malaysia untuk berbuat demikian.

Menurut kenyataan itu, Ahmad Fakhri dan Ahmad Reduan dijangka pulang ke tanah air pada 10 Julai.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...