Selasa, 31 Mei 2011

Tuanku Mizan perkenan mencemar duli

View Image

KUALA TERENGGANU - Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal berkenan untuk merasmikan Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 yang julung kali diadakan di Terengganu pada 6 Jun ini. 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, majlis tersebut akan diadakan di Bangunan Kelab, Terengganu Equestrian Resort (TER), bermula pada jam tiga petang. 

Menurutnya, perkhemahan itu anjuran bersama Kerajaan Negeri dengan Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dan Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan akan mengumpulkan semua Kelab Poni di seluruh Malaysia yang bernaung dibawah MEM. 

“Program ini akan berlangsung selama lima hari, iaitu dari 5 hingga 10 Jun ini di TER. Objektif utama penganjuran program ini adalah bagi memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada ahli kelab mengenai cara penjagaan kuda dan memelihara perhubungan rapat dengan kuda. 

“Kita juga ingin memperkembangkan kemahiran berpasukan dan memberi peluang kepada semua peserta untuk menunggang dalam persekitaran alam semula jadi selain menggalakkan interaksi dan semangat berkumpulan (esprit de corps) serta melahirkan bakat mereka melalui aktiviti bengkel,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman, kelmarin. 

Sehubungan itu katanya, pelbagai aktiviti juga dirancang sepanjang perkhemahan tersebut, antaranya program menunggang, aktiviti bengkel dan latihan praktikal penjagaan kuda. 

“Seramai 200 pelajar dan 30 guru serta jurulatih akan menghadiri perkhemahan lima hari ini. Mereka mewakili 15 kelab poni dari seluruh negara, antaranya ialah Pusat Ekuin UTM Skudai, Pusat Ekuin Bandar Darul Aman, Pusat Ekuin Alysha MSS Kelantan, Pusat Ekuin TER dan Kelab Poni Imtiaz. 

“Kita berasa bangga kerana Terengganu dipilih menjadi tuan rumah kali ini, apatah lagi sukan berkuda antara sukan yang diminati Tuanku Mizan dan rakyat negeri ini. Ia juga sebenarnya selaras dengan hasrat kerajaan untuk ‘Merakyatkan Sukan Berkuda’,” katanya

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...