Translate

08/05/2011

Detik penentuan Singapura



SEPERTI yang diduga, pilihan raya umum kali ini terbukti genting dan bersejarah dengan keputusannya bakal mencorak cara dan gaya pemerintahan serta masa depan rakyat dan negara Singapura.

Apabila rakyat mengundi hari ini, mereka perlu memutuskan sama ada memilih Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, dengan rekod cemerlang dan visi menjamin masa depan rakyat atau pembangkang yang mahu mengembangkan sayap mereka.

Pilihan raya ini diadakan sedang terdapat sentimen kurang senang di kalangan sesetengah rakyat terhadap PAP dalam beberapa isu seperti kos hidup, perumahan, pengangkutan dan pendidikan.

Hal ini diakui sendiri oleh para pemimpin PAP, yang dalam kempen ini turut banyak menekankan bahawa mereka memahami dan mendengar keprihatinan rakyat.

Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sendiri mengakui kelemahan pemerintahnya dalam beberapa hal, meminta maaf dan berjanji akan menangani beberapa isu yang menjadi kemarahan rakyat.

Langkah beliau itu, yang memimpin pilihan raya keduanya sebagai Perdana Menteri, mungkin mengejutkan sesetengah orang, tetapi sedikit sebanyak telah dapat 'memaniskan' sentimen, sungguhpun pihak pembangkang mempersoalkan keikhlasannya.


Beberapa calon pembangkang menyatakan pengakuan Perdana Menteri itu jelas membuktikan pentingnya mempunyai suara pembangkang bagi mereka bertindak selaku 'check and balance' kepada PAP.

Inilah ruang yang cuba diisi oleh parti-parti pembangkang yang memberikan cabaran terbesar dengan menandingi 82 daripada 87 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ini, berbanding setakat 47 daripada 84 kerusi semasa pilihan raya lalu pada 2006.

Pertarungan paling sengit adalah perebutan Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) Aljunied, dengan pemimpin Parti Pekerja (WP), Encik Low Thia Khiang, menaruh segala perjuangan politik beliau.

Jika menang, ia bererti parti itu akan mempunyai sekurang-kurangnya lima kerusi di Parlimen.
Sebaliknya, jika kalah, Encik Low tidak lagi menjadi Anggota Parlimen selepas meninggalkan kubu kuatnya di Hougang.

Bagaimanapun, para pemimpin PAP mengingatkan rakyat bahawa pilihan raya ini bukan soal Encik Low dan matlamat beliau tetapi adalah lebih pada kebajikan dan masa depan rakyat sendiri.

Lama sebelum kempen bermula, pemerintah PAP mengajukan mesej bahawa pilihan raya umum kali ini adalah genting kerana ia mahu membentuk pembaharuan kepimpinan atau kepimpinan generasi keempat atau 4G, yang bakal menerajui pucuk pimpinan masa depan.

Sebab itulah seperti pilihan raya lalu, ia mengenalkan lebih 20 muka baru dengan antara mereka dikatakan berpotensi menjadi menteri dan membentuk pemimpin utama.

Namun, soal kepimpinan 4G itu tampak tenggelam dalam kehangatan kempen dengan isu-isu harian yang lebih mendapat perhatian.

Beberapa lagi 'faktor baru' dalam pilihan raya umum kali ini adalah: Peranan media baru, pengundi muda dan barisan calon pembangkang yang lebih berkelayakan dan menarik perhatian dan semangat pengundi.

Satu lagi ujian besar bagi parti PAP: Banyak GRC yang sebelum ini tidak ditandingi kini dicabar oleh pembangkang, lantas tidak diketahui dengan tepat corak sokongan penduduk.

Namun, beberapa pengamat dan calon PAP membuat kesimpulan bahawa apa yang dilihat dan dialami rakyat sekarang ini, sebenarnya membuktikan kejayaan PAP sendiri setelah memerintah Singapura lebih 50 tahun.

Hakikat bahawa rakyat menjangkakan kehidupan lebih baik dan mendesak PAP menghuraikan isu-isu seperti perumahan dengan lebih baik, mencerminkan kejayaan dan kebolehan PAP membawa Singapura ke tahap maju sekarang.

Hakikat bahawa kini lebih ramai pembangkang yang berkelayakan dan berpendidikan tinggi mencerminkan kejayaan PAP memajukan sistem pendidikan yang dapat menaikkan taraf pendidikan rakyat secara keseluruhannya.

Hakikat bahawa kini masyarakat Melayu juga mahu diberikan lebih banyak peluang dan berasa mereka juga berkelayakan memegang jawatan tinggi menggambarkan keyakinan masyarakat Melayu dan taraf pendidikan mereka yang lebih baik.

Namun, beberapa pemerhati berkata, tidak pernah dalam sejarah politik Singapura, sentimen marah terhadap PAP diluahkan secara terbuka dan terang-terangan, termasuk di kalangan anggota parti itu sendiri.

Calon PAP bagi GRC Aljunied Encik George Yeo, yang menghadapi cabaran paling sengit dalam sejarah kerjaya politiknya, akur akan sentimen itu dan berjanji akan memperjuangkan perubahan dalam PAP.

Mengajak rakyat memberi tumpuan kepada isu-isu yang menjamin kehidupan dan masa depan mereka, Perdana Menteri Lee menekankan tanggungjawab utama pemerintah semasa berucap dalam Hari Pekerja yang lalu.

'Apa yang perlu ditanyakan oleh para pengundi kepada sebarang parti politik yang mahukan sokongan adalah: Bagaimana ia dapat menjana pertumbuhan dan pekerjaan bagi rakyat Singapura?' kata Encik Lee.

Berita Harian Singapura

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...