Translate

11/04/2011

Tanam bayi perempuan baru lahir

DI SINI... ‘kubur’ bayi baru lahir yang dibuat suspek bagi menutup rahsia kelahiran oleh teman wanitanya.

HULU SELANGOR: Hanya kerana takut rahsia terbongkar, sepasang kekasih yang sudah terlanjur sejak setahun lalu akhirnya nekad menanam sendiri bayi perempuan yang dilahirkan tidak cukup bulan berhampiran tempat tinggal teman lelakinya itu.

Bagaimanapun, salah seorang jiran lelaki berusia 26 tahun itu yang curiga dengan tindakan pelik pasangan itu bertindak menghubungi pihak berkuasa.


Difahamkan, polis yang menerima panggilan berhubung kejadian terbabit segera ke rumah lelaki itu sebelum menahannya yang kebetulan berada di dalam rumah berkenaan.

Hasil pendedahan lelaki berkenaan, polis akhirnya menemui ‘kubur bayi’ yang baru dilahirkan teman wanitanya dalam keadaan ditutupi zink bagi mengelakkan dikesan orang ramai.



Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendy berkata, berikutan penemuan itu, suspek yang dipercayai berasal dari Indonesia kini ditahan reman selama empat hari sehingga 12 April bagi membantu siasatan.



“Mayat bayi sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi bedah siasat. Hasil bedah siasat dijangka diperoleh esok (hari ini).

“Namun, usaha mengesan teman wanita suspek yang juga ibu kepada mayat bayi ditemui itu masih gagal dan kita percaya teman wanitanya itu sudah melarikan diri ke Indonesia,” katanya, semalam. 

Terdahulu, dalam penemuan mayat bayi perempuan itu kira-kira jam 10 malam kelmarin, mangsa dipercayai dilahirkan tidak cukup bulan iaitu usia kandungan masih tujuh bulan.

Sebaik dilahirkan, bayi itu dikatakan meninggal dunia menyebabkan pasangan itu panik dan bertindak menanam mayat bayi terbabit di kawasan berhampiran bagi mengelakkan dikesan.

Suspek yang bekerja di sebuah kilang baja ayam sejak setahun lalu dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri menyebabkan suspek takut untuk menghantar bayi itu ke hospital.

Difahamkan, teman wanita suspek yang bekerja di ibu kota sering bertandang ke rumah teman lelakinya itu menyebabkan mereka sering mengadakan hubungan terlarang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...