Selasa, 26 April 2011

PERBICARAAN KES LIWAT II: Profil DNA lelaki Y Milik Anwar - Pendakwa


PIHAK pendakwa dalam perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa profil DNA "lelaki Y" yang ditemui di dalam dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik pemimpin pembangkang itu.

Dalam hujahnya pada akhir kes pendakwaan, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan analisis DNA yang dilakukan ahli kimia Nor Aidora Saedon terhadap sampel DNA yang diambil dari bilik lokap yang digunakan oleh Anwar dan oleh Dr Seah Lay Hong terhadap sampel yang diambil daripada Mohd Saiful.

"DNA itu sepadan dengan kajian profil yang dibuat terhadap semua sampel oleh dua ahli kimia berkenaan dan ia selari dengan keterangan yang diberi oleh Mohd Saiful," kata Mohamed Yusof.


Beliau berkata Dr Seah mengesahkan bahawa air mani yang ditemui di dalam dubur Mohd Saiful berasal daripada satu sumber sahaja, yang pada awalnya dirujuk sebagai "lelaki Y".

Katanya profil DNA (lelaki Y) itu kemudiannya didapati sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada tiga barang bukti (tuala good morning, botol air mineral dan berus gigi) dan berasal daripada benda yang sama serta daripada sumber yang sama.

Peguan Cara Negara II
Mohamed Yusof berkata berdasarkan padanan yang serupa itu, pihak pendakwa telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh dan oleh itu beliau perlu membela diri.
Mengenai isu kelewatan Mohd Saiful membuat laporan polis, beliau berkata seperti yang diketahui, Anwar dan Mohd Saiful mempunyai hubungan majikan-pekerja, dan mangsa juga menjadikan Anwar sebagai idolanya sejak kecil lagi.

"Mohd Saiful diberi layanan istimewa dengan diperuntukkan sebuah bilik di pejabat baru Anwar, berbanding rakan sekerjanya yang lebih senior," kata Mohamed Yusof.


Bagaimanapun, perkara itu tidak menjejaskan kredibiliti Mohd Saiful dalam memberi keterangan tentang kejadian yang berlaku di unit kondominium berkenaan pada 26 Jun 2008.
Beliau berkata, sebelum itu, mereka telah berjumpa di pejabat Ibrahim Yaacob (ketua staf Anwar) pada kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari berkenaan dan pada tengah harinya, Mohd Saiful diminta menghantar satu sampul surat kepada Anwar di Kondominium Damansara pada kira-kira pukul 1.45 tengah hari.

Mohamed Yusof berkata semasa perbicaraan tertutup, Mohd Saiful menerangkan secara terperinci bagaimana aksi itu berlaku dan Anwarlah yang memintanya membawa bersama jeli KY.

"Itulah sebabnya tidak berlaku kecederaan pada bahagian dubur Mohd Saiful, tidak kiralah sama ada aksi seks itu berlaku dengan keizinan atau tanpa keizinan," kata Mohd Yusof.
Tertuduh, Anwar Ibrahim
Beliau berkata semua itu terkandung dalam laporan proforma (sejarah perubatan) yang dicatat oleh Dr Ruzain Rahimi, di mana mangsa (Mohd Saiful) memberitahu doktor berkenaan bahawa bahan pelincir telah digunakan, dadanya diramas dan berlaku penetrasi serta ejakulasi.

Mengenai isu tiga orang doktor yang pada mulanya membuat kesimpulan tidak berlaku penetrasi, Mohamed Yusof berkata ia hanyalah berdasarkan pemeriksaan klinikal, walaupun mereka telah mendapat laporan daripada ahli kimia Dr Seah dua hari sebelumnya.

Beliau berkata, ketika itu, tiga doktor berkenaan tidak mengetahui tentang tempat palitan berkenaan diambil, sehinggalah mereka ditunjukkan laporan oleh ahli kimia semasa pemeriksaan utama.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Dalam hujahnya, peguam bela utama Karpal Singh berkata pihak pendakwa telah gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Anwar dan oleh itu, tertuduh patut dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Peguam Karpal Singh
Katanya saksi utama Mohd Saiful telah berbohong dalam laporan polis yang dibuatnya pada 28 Jun, 2008 bahawa kononnya aksi itu berlaku tanpa kerelaannya.

"Dia bukan saksi yang bercakap benar dan berwibawa dan oleh itu, keterangannya perlu ditolak tanpa memerlukan sebarang penjelasan," kata Karpal.

Malah, kata beliau, berdasarkan turutan kejadian, Mohd Saiful telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 195 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu dan berbohong, walaupun telah mengangkat sumpah.

Karpal berkata mahkamah perlu memerintahkan pendakwa raya supaya mengenakan pertuduhan terhadap Mohd Saiful untuk menunjukkan dengan jelas bahawa badan kehakiman tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan menyalahgunakan prosesnya hingga mengakibatkan seorang yang tidak bersalah, disabitkan kesalahan.

Peguam itu juga berkata mangsa mempunyai banyak peluang untuk melarikan diri daripada seseorang yang didakwa menjadi penyerangnya atau mengadu dengan segera kepada pemilik unit kondominium berkenaan atau kepada pengawal keselamatan di premis itu.

Di samping itu, kata beliau, mangsa juga telah menghadiri satu majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari berikutnya di Tropicana dan menyertai mesyuarat Kelab Anwar Ibrahim di kediaman tertuduh.

"Tindakan PW1 (Mohd Saiful) itu bercanggah dengan kejadian hubungan seks di luar tabie tanpa kerelaan. Kredibiliti mangsa semakin terhakis," kata Karpal.

Beliau berkata penjelasan yang boleh diterima juga tidak didapati tentang kenapa berlakunya kelewatan dalam membuat laporan polis apabila ia hanya dibuat dua hari selepas kejadian itu didakwa berlaku.

Karpal juga membangkitkan isu kegagalan pihak pendakwa memanggil saksi penting, Dr Mohd Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, iaitu pegawai perubatan pertama yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa.

Sementara itu, dalam hujahnya, seorang lagi peguam bela S.N.Nair berkata pihak pendakwa banyak bergantung pada jeli KY untuk memberi alasan tidak berlakunya kecederaan pada dubur Mohd Saiful.
Peguam S. N. Nair
Kata beliau tiadanya ujian dilakukan terhadap gel yang didakwa digunakan semasa aksi hubungan seks itu mungkin menunjukkan gel berkenaan tidak wujud.

"Cerita gel ini adalah sesuatu yang direka kemudiannya iaitu setelah laporan perubatan oleh doktor dari HKL (Hospital Kuala Lumpurl) menunjukkan tidak terdapat sebarang penemuan tentang berlakunya penetrasi pada dubur/rektum dan tidak ada kecederaan akibat mempertahankan diri pada tubuh pengadu," kata Nair.

Beliau berkata satu soalan penting yang perlu dijawab ialah kenapa gel itu tidak dihantar kepada jabatan Kimia untuk dibuat analisis.
Nair juga membangkitkan isu penyahgredan sampel yang diambil daripada Mohd Saiful di HKL pada 28 Jun, 2008, iaitu dua hari selepas berlakunya kejadian yang didakwa berlaku itu.

Katanya hanya selepas hampir 97 jam dikatakan berlakunya kejadian itu, barulah sampel berkenaan diserahkan kepada ahli kimia Dr Seah, iaitu pada kira-kira pukul 7.55 malam, 30 Jun, 2008.

Peguam bela Ram Karpal Singh pula berkata penemuan oleh ahli kimia Dr Seah dan Nor Aidora Saedon tentang profil DNA, termasuk profil bagi 'lelaki Y', perlu ditolak kerana ia gagal mematuhi sepenuhnya protokol makmal antarabangsa.
Katanya penemuan mereka penuh dengan keraguan dan butiran saintifik yang tidak boleh dijelaskan.

"Ketiadaan bukti yang boleh dipercayai berhubung sampel DNA yang dikemukakan oleh pihak pendakwa untuk dipadankan dengan keterangan pengadu kononnya berlaku kejadian itu, dengan sendirinya menambahkan lagi keraguan tentang kredibiliti pengadu," kata beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...