KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Pengendali kantin sekolah yang tidak mengikuti peraturan tentang senarai makanan yang akan dijadualkan dalam masa terdekat ini akan disenaraihitamkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya kementerian itu akan bertindak untuk menggantikan dengan pengendali yang baru dengan serta merta sekiranya pengendali sedia ada didapati menjual makanan dan minuman tidak berkhasiat.
"Kesemua senarai tersebut akan diperincikan kepada setiap jenis makanan dan senarai itu kita akan edarkan kepada kesemua kantin dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Dewan Pembedahan Terkini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia hari Isnin.
Liow berkata sebarang makanan ringan dan minuman tidak berkhasiat dilarang sama sekali di mana makanan tersebut perlu digantikan dengan yang berkhasiat bagi memastikan pelajar mengamalkan cara pemakanan yang sihat.
"Harga makanan khasiat yang akan dijual di dalam kantin sekolah juga tidak akan terjejas dan akan dijual dengan harga yang rendah serta berpatutan," katanya.
Beliau juga menasihati ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan penting supaya pelajar diberi makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk tumbesaran mereka.
"Memang kita sudah pratik larangan jualan makanan ringan sejak dulu lagi, tetapi senarai makanan dulu dan sekarang berbeza dan sekarang ada makanan yang dibawa masuk ke dalam kantin tanpa pengetahuan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan," katanya.
Semalam, ketika mengumumkan peraturan baru itu Liow berkata larangan tersebut adalah bagi membendung pemakanan tidak sihat khususnya yang mengandungi gula, garam dan lemak berlebihan bagi menangani masalah obesiti di kalangan para pelajar.
Mengulas pula isu politik iaitu mengenai kekalahan parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kepada DAP terutama di kawasan bandar pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang baru berlalu, Liow berkata situasi tersebut bukan hanya semata-mata kerana masyarakat Cina tidak menyokong Barisan Nasional, tetapi secara keseluruhan.
"Ia mengenai masyarakat bandar tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun atau Iban," katanya yang juga Timbalan Presiden MCA.
Beliau berkata MCA akan bertindak agresif dan defensif dengan kesediaan untuk membuat transformasi bagi mendedahkan taktik pembangkang yang suka memutar belitkan cerita kepada rakyat.
"MCA akan melalui transformasi dan sanggup berubah agar kita dapat memenuhi kehendak rakyat di bandar. Ia sebagai amaran dan tanda jelas kepada kita," kata Liow.