Jumaat, 29 April 2011

Lelaki 82 Tahun Lulus Ujian Lesen Motosikal

TUMPAT, 28 April (Bernama) -- Demi kasih sayangnya kepada cucu, seorang warga emas sanggup bersusah payah berpanas mengambil ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mendapatkan lesen menunggang motosikal.

Abdullah Che Ibrahi, 82, berkata sungguhpun agak perit bagi orang telah berusia lanjut sepertinya, atas rasa tanggungjawab menghantar cucunya ke sekolah menggunakan motosikal, beliau sanggup menjalani ujian itu.

Abdullah berkata beliau mengambil ujian kerana sudah serik disaman oleh polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
Beliau merupakan satu-satunya warga emas yang lulus ujian bagi mendapatkan lesen menunggang motosikal setelah dapat melakukan pusingan lapan, meniti di garis lurus dan melakukan brek kecemasan dengan sempurna.

"Saya gembira dapat lesen dan kini dapatlah hantar cucu ke sekolah dan jalan tanpa bimbang," katanya kepada pemberita selepas menerima lesen itu pada majlis penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di Sekolah Kebangsaan Sri Neting, dekat sini, pada Khamis.

Majlis penutupan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...