Translate

19/04/2011

Ancaman baru dalam arus teknologi ICT

Pelbagai cabaran dan ancaman baru mula muncul di dalam kepesatan arus teknologi ICT seperti pencerobohan siber terhadap sistem kawalan, kod bahaya, kecurian identiti, penipuan dan sebagainya.

“Contoh terbaru ialah kemunculan senjata siber yang dikenali sebagai ‘stuxnet’ telah mengemparkan dunia,” kata Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda ketika merasmikan majlis penutup Seminar Pengurusan Keselamatan Sasaran Penting Zon Pantai Timur, di Wisma Darul Iman semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustafa; Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat Sasaran Penting (JPSP); Ahli-ahli Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN) Kelantan, Terengganu dan Pahang serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan.


Katanya, perlu ada satu mekanisma dan pendekatan yang boleh menghalang sebarang bentuk ancaman dari segi kebocoran maklumat, ketirisan dokumen serta perlanggaran keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi terutama ketika mengendalikan hasil keluaran di sasaran penting.

Justeru itu katanya, semua pemilik dan penghuni sasaran penting perlu bersiap sedia, mengkaji dan mengemas kini pelan kontijen masing-masing bagi menangani bencana seumpamanya.

“Saya harap semua pihak dapat mengambil langkah proaktif dengan melapor segera kepada JSPN dan JPSP sekiranya berlaku sebarang kerosakan peralatan, pemendapan tanah dan sebagainya,” katanya.

Dato’ Haji Wan Ahamad turut berharap agar lima koridor pembangunan yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, antaranya Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan tiga negeri di Pantai Timur ini bekerjasama menangani dalam pengurusan keselamatan.

“Semua yang terbabit dapat membantu memberi khidmat nasihat berdasarkan kepakaran teknikal dari aspek keselamatan perlindungan dan membantu menjayakan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) Negara,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...