Translate

11/03/2011

Malaysia tidak perlu iktiraf ICC hanya untuk kelihatan hebat

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Malaysia tidak perlu mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semata-mata untuk kelihatan hebat di mata masyarakat antarabangsa, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Beliau berkata jika Malaysia memilih untuk menyertai konvensyen itu, ia perlu bersedia memberikan sumbangan terbaik dan berperanan sewajarnya sebagai negara anggota.
“Kita tidak boleh sekadar ikut serta, duduk dan merasa selesa, sebaliknya, jika kita memilih untuk berbuat demikian, ia mesti dilakukan secara berintegriti serta bermaruah.

“Saya mendapati banyak negara yang mengiktiraf konvensyen itu, namun hanya memberikan sumbangan yang amat sedikit atau langsung tidak berbuat apa-apa,” katanya dalam ucaptama pada seminar Rundingan Parlimen Asia Pasifik mengenai Kesejagatan Statut Mahkamah Jenayah Antarabangsa Rome di bangunan Parlimen hari ini.
Abdul Gani (gambar) berkata Malaysia perlu meminda beberapa undang-undang sebelum memutuskan untuk menyertai ICC dan mengiktiraf konvensyen itu.
Beliau berkata selain itu, kerajaan perlu menimbangkan perkara berkaitan polisi sebelum mengiktiraf mana-mana konvensyen antarabangsa.
“Saya yakin kerajaan akan meneliti perkara ini dengan serius, dan selepas menyelesaikan beberapa isu remeh, ia akan mengiktiraf ICC,” katanya kepada pemberita selepas seminar itu.
Abdul Gani yang enggan menjelaskan isu remeh berkenaan berkata, pindaan berkaitan tidak perlu dibataskan kepada mana-mana undang-undang.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata Malaysia perlu menimbang untuk menganggotai ICC.
“Mengenai isu kedaulatan undang-undang, kita mempunyai bidang kuasa yang sangat terbuka. Secara peribadi, saya rasa kita perlu menyertainya kerana kita tidak akan kerugian apa-apa, jadi mengapa kita harus memencilkan diri dalam perkara ini? (dengan tidak menyertai ICC),” katanya selepas menutup seminar dua hari itu.
Seminar itu, yang bermula semalam, dihoskan Parlimen Malaysia dengan sokongan Kesatuan Eropah, Belgium, Belanda dan Switzerland.
ICC ialah mahkamah tetap dan bebas antarabangsa pertama bagi menyiasat serta mengheret individu yang melakukan pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia ke muka pengadilan.
Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 114 negara menganggotai ICC termasuk Bosnia Herzegovina, Afghanistan, Kemboja dan Perancis. — Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...