Translate

30/03/2011

Longkang tersumbat punca banjir kilat - Sikap tidak bertanggungjawab


Sikap segelintir individu yang gemar menjadikan longkang sebagai tong sampah sehingga mengakibatkan Taman Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu mengalami banjir kilat amat dikesali.

Kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini (Mac) menyebabkan 46 keluarga mengandungi 206 orang terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal (SKTJ) bermula awal pagi tadi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata banjir kilat yang melanda Taman Uda Murni adalah kali kedua dalam bulan ini dan semua mangsa dapat dipindahkan dengan selamat hasil bantuan pelbagai pihak.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa membersihkan kembali semua longkang yang tersumbat akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu.

“Kontraktor berkaitan juga perlu bertangungjawab dalam perkara ini, kerana sering mengabaikan syarat-syarat ditetapkan sebelum membina longkang.

“Jika longkang yang ada sekarang ini dibina dengan saiz lebih besar, sudah tentu bencana seperti ini boleh dielak dan tidak akan berlaku,” katanya kepada media ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di SKTJ.

Hadir sama dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa pemimpin peringkat kampung.

Katanya, bagi mengelak kejadian sama berlaku pada masa akan datang, PBT akan menyediakan lebih banyak longkang bersaiz besar di samping memastikan longkang tidak dicemari sampah sarap.

“Longkang yang tersumbat akan dibuka dan dibersihkan bagi memudahkan air banjir melaluinya tanpa sebarang halangan,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun puluhan juta dibelanjakan termasuk projek tebatan banjir bernilai RM5.6 juta di Taman Perumahan Pusu Tiga, Kuala Nerus .

“Alhamdullilah, penduduk di kawasan itu kini sudah berasa lega dan tidak lagi cemas setiap kali hujan lebat melanda.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...