PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong ke arah usaha mengembang dan memperkasa bahasa Melayu.
"Bahasa Melayu yang sekian lama menjadi bahasa pertuturan rasmi dan juga bahasa kebangsaan Malaysia akan terus terpelihara, diperkemas dan dikembangkan di dalam mahupun luar negara," katanya ketika merasmikan Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di sini Jumaat.
Katanya bahasa Melayu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran serta hambatan dalam era globalisasi dan perkembangan dunia teknologi komunikasi dan maklumat yang melahirkan dunia tanpa sempadan.
Najib berkata terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai di dunia, tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberikan taraf bahasa rasmi.
"Dalam konteks ini kita wajar berasa bangga kerana bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu dan menduduki 10 tangga bahasa terpopular penggunaannya di dunia," katanya.
Beliau berkata sekiranya digabungkan penggunaan bahasa Melayu dalam gugusan kepulauan Melayu Nusantara, jumlah yang diperolehi adalah seramai kira-kira 300 juta orang.
Ia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kelima terbesar dari segi jumlah penutur, dan ia juga diberi taraf bahasa keempat terbesar di dunia dari segi meluasnya penggunaan bahasa itu.
"Walau apapun, jumlah penutur sahaja tidak boleh dijadikan ukuran tepat sebaliknya terdapat beberapa ciri-ciri lain yang perlu untuk kita penuhi bagi melayakkan bahasa Melayu itu kekal dipanggil sebagai bahasa dunia.
"Pengaruh sesuatu bahasa memainkan peranan yang dominan untuk memajukan sesuatu bangsa itu apatah lagi dalam usaha kita memartabat dan memperkasa bahasa Melayu ke pentas dunia," katanya.
Dalam pada itu menyedari hakikat bahawa penterjemahan memainkan peranan yang amat besar dalam membangunkan sesebuah tamadun, Najib berkata Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) akan diperkasa untuk meneruskan kelestarian bidang penterjemahan.
"Kerajaan akan memberikan sokongan kepada ITNM bagi memperkaya kepustakaan berbahasa Melayu sebagai wahana pemikiran bangsa Malaysia di samping mengantarabangsakan karya kebangsaan secara berterusan melalui aktiviti penterjemahan supaya setanding dengan karya-karya yang diiktiraf dunia," katanya.
Katanya setakat ini beberapa karya ulung diterjemah ke bahasa Melayu, antaranya Siddharta, A History of Mathemathics, Culture and Imperialism, The End of History and The Last Man, Revival and Reform in Islam, dan juga The Great Ideas.
"Terkini saya diberitahu karya tersohor Jalaludin al-Rumi bertajuk Masnawi yang asalnya dalam bahasa Parsi sedang dibuat penterjemahannya.
"Dalam pada itu seperkara yang agak unik buku tulisan saya bertajuk Menakhoda Zaman pula sedang giat diterjemah ke dalam bahasa Parsi," katanya.
Bagi merangsang aktiviti terjemahan terutamanya karya-karya besar dunia ke dalam bahasa Melayu dan usaha-usaha pengukuhan keupayaan, Najib berkata kerajaan akan menimbang untuk memberi peruntukan khas kepada ITNM, yang jumlahnya akan ditentukan nanti.
Diharapkan dengan suntikan ini ia akan mampu merancakkan lagi senario terjemahan tempatan," katanya.
Menyentuh tentang Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu hari ini, Najib menyarankan supaya pertandingan yang mempunyai nilai amat tinggi itu tidak hanya bertumpu kepada penganjuran pertandingan pidato sahaja.
"Ia seharusnya diperluas kepada pelbagai program signifikan yang boleh memberikan nilai tambah kepada pembangunan dan pemerkasaan bahasa Melayu. Usaha ini akan membawa impak yang besar dan bermakna bukan sahaja kepada bahasa Melayu tetapi tentunya negara kita Malaysia," katanya.
Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri kali kelima ini menyaksikan penyertaan 56 buah negara meningkat dari 23 negara sebelum ini.
Llapan peserta berentap di peringkat akhir iaitu dari Rusia, Singapura, Turki, Brunei, Korea Selatan, China, Australia dan Malaysia.
Peserta Malaysia Amiruddin Abd Rahman dengan tajuk pidato "Bangsa Berilmu Bangsa Bertamadun" muncul juara kategori nusantara manakala Halil Ibrahim dari Turki dengan tajuk pidato "Generasi Muda Hari Ini Penentu Hari Esok" menjuarai kategori antarabangsa.
Juara kedua-dua kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai USD5,000, hadiah iringan dan sijil.
-- BERNAMA