Khamis, 31 Mac 2011

AKPK bantu selesai masalah hutang

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kreadit (AKPK) Malaysia mencatatkan golongan lelaki berusia antara 30 tahun hingga 40 tahun di seluruh negara, paling tinggi menanggung bebanan hutang berbanding wanita.


Berdasarkan perangkaan sepanjang lima tahun yang berakhir Februari lalu, golongan lelaki mencatatkan seramai 34,479 orang dan kaum wanita pula seramai 16,484 orang.



Pengurus Besar Operasi AKPK, Encik Azman Husin, berkata hampir 4,000 individu pelbagai peringkat umur dan golongan di negeri telah mendapat khidmat nasihat mengenai kaedah terbaik menguruskan sumber kewangan dan cara atasi bebanan hutang di AKPK cawangan Kuala Terengganu sejak ditubuhkan awal 2007.



Katanya, semua perkhidmatan yang disediakan AKPK adalah percuma di mana setiap peminjam boleh mendapatkan bantuan untuk membuat penstrukturan semula pelbagai jenis pinjaman termasuk perumahan, kenderaan, peribadi dan baki tertunggak kad kreadit.



“Melaluinya juga peminjam dapat menguruskan hutang secara bijak, membantu membuat pembayaran balik pinjaman dan mengendali perbelanjaan harian dengan teratur.



“Program yang diatur ini nyata dapat mengurangkan jumlah hutang yang tidak berbayar dan menghidari rumah daripada dilelong,” katanya kepada media di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, hari ini (30 Mac).



Menurutnya, pelanggan yang mendapat perkhidmatan di AKPK tergolong daripada pelbagai lapisan masyarakat.



“Dalam kebanyakan kes, faktor utama penyebab hutang adalah ketidakupayaan membayar balik pinjaman, sistem perancangan kewangan yang lemah, kurang berdisplin dan tidak mempunyai pengetahuan berkaitan itu.



“Terdapat juga faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan dalam perniagaan,” katanya.



AKPK ditubuhkan Bank Negara Malaysia dengan objektif memastikan sektor isi rumah terus berdaya tahan dengan menyediakan saluran bagi peminjam individu dan bakal peminjam mendapatkan nasihat dan bantuan berkaitan pengurusan hutang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...