DUNGUN, 10 Feb (Bernama) -- Yayasan Pelajaran Mara (YPM) merancang penubuhan satu unit khas bagi mengumpul data pencapaian bumiputera dalam semua sektor pendidikan di seluruh dunia.
Pengerusinya, Datuk Dr Rosli Mat Hassan berkata unit itu, yang dikenali sebagai Sekretariat Pendidikan Bumiputera, akan mengumpul maklumat mengenai tokoh pendidik dari pelbagai peringkat kerana setakat ini, tidak ada pertubuhan atau organisasi yang berbuat demikian.
Rosli berkata unit itu kini bersedia dilancarkan bagi mengumpul data lengkap setiap tokoh pendidik bumiputera, termasuk yang berada di Amerika Syarikat, England, Australia dan Eropah.
Katanya, ia akan membantu beberapa kementerian dan kerajaan menyediakan maklumat lengkap mengenai semua tokoh pendidik bumiputera.