Translate

22/02/2011

Tiga sindiket jenayah tumpas

Ayob Yaakob (dua kiri) menunjukkan cara dadah jenis syabu seberat 6.2 kg yang disorok di dalam bagasi milik dua wanita warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada sidang media, semalam.


PULAU PINANG 21 Feb. - Kegiatan pengedaran dadah membabitkan warga Iran sekali lagi berjaya dibanteras Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila tiga rakyat negara itu termasuk dua wanita ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai RM2.65 juta di sini dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam kejayaan pertama, Polis Pulau Pinang merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.55 juta selepas menahan dua wanita warga Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Sabtu lalu.

Kedua-dua wanita itu yang berusia 21 dan 24 tahun baru tiba di negeri ini dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu selepas transit di Singapura pada pukul 8.10 malam.


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayob Yaakob berkata, kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri sebaik sahaja tiba di lapangan terbang kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
"Setelah diperiksa, polis menemui dadah jenis syabu seberat 6.2 kilogram disimpan dalam dua bungkusan plastik lutsinar yang disembunyikan di dalam dua bagasi pakaian mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut Ayub, wanita berkenaan pernah memasuki negara ini dua kali iaitu pada Disember dan Januari lalu.

"Polis juga sedang menyiasat sama ada mereka pernah membawa dadah ketika memasuki negara dua kali sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, pada Khamis lalu, Polis Kuala Lumpur menahan seorang lelaki warga Iran dan seorang wanita rakyat Moldova serta merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.1 juta di Hotel Mewah, Jalan Ampang di ibu negara.

Suspek lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 25 tahun itu diberkas dalam satu serbuan di hotel berkenaan kira-kira pukul 5 petang.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu.

"Polis turut merampas enam bungkusan besar plastik lutsinar dadah jenis syabu seberat enam kilogram, wang tunai AS$4,500 (RM13,671.90), Riyal 137,000 (RM40.40) dan RM70 selain tiga telefon bimbit pelbagai jenis.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari dari 18 hingga 24 Februari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi warga Afrika dipercayai aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang, sejak beberapa bulan lalu.

Menurut Zulkifli, kejayaan itu diperoleh selepas pihaknya menahan seorang wanita warga Afrika berusia 22 tahun dalam keadaan berbogel di hadapan Restoran Jumbo Cheras, 7 Februari lalu.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan hasilnya menemui 65 kapsul syabu seberat 927 gram bernilai RM180,000 di dalam perutnya.

"Kesemua dadah itu berjaya dikeluarkan melalui saluran najis. Suspek kini direman sehingga 28 Februari dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti saki baki sindiket yang terlibat serta punca bekalan dadah diperoleh," katanya.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...