Translate

18/02/2011

Portfolio baru cuba tonjolkan Islam agama berkonfrontasi?

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam yang ditubuhkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya menjaga hal ehwal dan kebajikan penganut agama lain dan bukannya dilihat seperti cuba berkonfrontasi dengan Islam.

Pemerhati undang-undang, Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, meskipun penubuhan portfolio itu tidak menyalahi undang-undang, namun objektifnya perlu mencerminkan semangat kerjasama dan saling menghormati antara penganut Islam dan bukan Islam.

Beliau yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menambah, objektif portfolio itu bagaimanapun seolah-olah menggambarkan bahawa agama Islam sedang berkonfrontasi dengan agama-agama lain.

"Jika betul mahu menjaga hal ehwal bukan Islam, maka tidak perlu disebut mengenai konfrontasi sebab Islam tidak berkonfrontasi dengan agama lain. Mungkin setakat itu sahaja pandangan portfolio tersebut terhadap agama Islam," kata beliau.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di Pulau Pinang seperti yang diumumkan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng hari ini.

Portfolio yang dipengerusikan sendiri oleh Guan Eng itu akan memberi tumpuan terhadap hal ehwal agama Buddha, Kristian, Sikh, Taoisme dan Hindu dan merupakan portfolio majlis eksekutif negeri yang pertama.

Sham Rahayu menambah, portfolio itu perlu jelas kepada rakyat agar tidak dilihat cuba meletakkan agama lain setaraf dengan Islam yang merupakan agama rasmi negara.

Lebih utama jelasnya, portfolio itu juga bukan satu usaha untuk menghidupkan semula Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang ditolak kerajaan sebelum ini menggunakan nama lain.

Apa yang menjadi kebimbangan juga kata beliau, sekiranya portfolio itu akan mengurangkan bajet yang diperuntukkan kepada perkara-perkara berkaitan dengan agama Islam.

"Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjelaskan apakah pengisian dan masalah yang cuba diselesaikan menerusi portfolio ini supaya objektifnya sesuai dengan matlamat penubuhannya," kata beliau.

Sementara itu pemerhati politik, Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, portfolio baru itu sebenarnya tidak lebih daripada strategi politik kerajaan negeri untuk mendapatkan sokongan terutamanya di kalangan orang bukan Islam.

Ini kerana kata pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu itu, tidak ada keperluan yang mendesak kepada penubuhan portfolio seumpamanya.

"Kewujudan portfolio ini seolah-olah menunjukkan kerajaan mengekang kebebasan penganut agama lain untuk mempraktikkan kepercayaan masing-masing sedangkan hakikatnya mereka diberikan kebebasan beragama sepenuhnya.

"Justeru, apa sebenarnya motif penubuhan portfolio seperti ini?" soalnya.

Beliau menambah, Kerajaan DAP Pulau Pinang barangkali cuba membandingkan penubuhan badan khas mengenai agama Islam yang ada di setiap negeri menerusi portfolio baru tersebut.

Namun kata beliau, badan khas mengenai agama Islam itu tidak boleh dipertikaikan kerana agama Islam adalah agama rasmi negara selain merupakan agama kaum Melayu yang merupakan majoriti.

"Justeru, badan khusus bagi penganut Islam itu perlu bagi menyelaras usaha-usaha kerajaan negeri dan Pusat berkaitan dengan hal ehwal agama Islam," kata beliau.

Che Hamdan turut melontarkan persoalan adakah Kerajaan DAP Pulau Pinang berharap negeri-negeri lain mengikut jejak langkah mereka menubuhkan portfolio berkenaan sedangkan perkara itu bukannya satu keperluan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...