Translate

24/02/2011

Anwar Takut Bukti-Bukti Baru

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Enam hari lalu, saksi pendakwa kelima dalam perbicaraan kes liwat mengenal pasti 19 barang kes yang kemudiannya diterima masuk sebagai bukti oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Hari ini, saksi pendakwa keenam, Nor Aidora Saedon, 38, mengenal pasti lima barang kes yang terdiri daripada dua helai bulu, satu berus gigi kecil berwarna putih, satu tuala kecil ‘Good Morning’ dan sebotol plastik air mineral plastik jenama ‘Cactus’.
Bagaimanapun, berbanding sebelum ini, barang-barang kes ini masih belum diterima masuk oleh Mahkamah Tinggi sepenuhnya dan hanya ditandakan sebagai ‘ID’ ekoran wujud bantahan daripada pihak pembelaan.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin mengenai bilangan sampul barang kes yang diterimanya, saksi itu menyatakan, beliau pada mulanya menerima empat sampul berisi barang-barang tersebut pada 17 Julai 2008 daripada Deputi Supritendan Jude Blacious Pereira (kini Supritendan).
Bagaimanapun, selepas memeriksa kesemua barang itu keesokan harinya, Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia itu mendapati terdapat sehelai bulu terlekat pada tuala tersebut.
“Saya kemudian mengasingkan bulu tersebut dengan melekatkannya pada sekeping kertas sebelum memasukkannya ke dalam satu plastik kecil dan sampul yang berlainan. Sebab itu ada lima sampul semasa saya pulangkan semula kesemua barang kes kepada pihak polis,” katanya.
Sewaktu barang-barang kes itu dipulangkan, kesemuanya diletakkan ke dalam satu beg plastik lutsinar yang mengandungi nama dan tandatangannya serta nombor makmal.
Beg plastik itu turut dimeterai menggunakan pemanas haba (heat-seal).
Terdahulu, barisan pembelaan dilihat seolah-olah ‘melatah’ apabila mengemukakan bantahan terhadap barang-barang kes.
Apa yang pelik, pada ketika itu, pihak pendakwaan mahupun saksi itu sendiri belum lagi menyebut mahupun mengemukakan sebarang barang kes.
SANKARA NAIR (SN): Yang Arif, saya ingin membuat bantahan terhadap bukti yang dikemukakan. Saya juga ingin memohon mahkamah agar ditangguhkan seketika bagi membolehkan Encik Karpal Singh hadir bagi mendengar keterangan saksi. Beliau dalam perjalanan dari Shah Alam.
DATUK MOHD. YUSOF ZAINAL ABIDIEN: Pada masa ini, saya tidak melihat asas bantahan pihak pembelaan Yang Arif. Saksi hanya mengatakan dia ada menerima permohonan daripada polis tetapi tidak ada apa lagi yang diperkatakan. Saya tidak nampak apa tujuan bantahan ini dibuat.
SN: Asasnya jelas. Bahan bukti diserahkan oleh Jude yang mana ia akan menjadi satu elemen penting dalam hujah kami di akhir kes ini. Adalah wajar prosiding dihentikan seketika atau ia akan menyebabkan prejudis terhadap anak guam saya.
Prosiding kemudian ditangguhkan kira-kira pukul 9.30 pagi dan pihak-pihak yang diwakili oleh Mohd. Yusof selaku Peguam Cara Negara II yang mengetuai barisan pendakwaan dan Sankara dilihat memasuki kamar hakim.
Perbicaraan itu bersambung setengah jam kemudian dan pada ketika ini, peguam bela utama, Karpal telah berada di dalam mahkamah.
Kira-kira dua jam 30 minit kemudian, barisan pembelaan sekali lagi mengemukakan bantahan dan kali ini pada nota yang dirujuk oleh Nor Aidora.
Saksi sebelum itu telah memohon kebenaran mahkamah untuk merujuk nota peribadi yang mengandungi maklumat berhubung ujian kebarangkalian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan ia dibenarkan oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Karpal menyatakan, pihaknya tidak pernah dibekalkan dengan nota tersebut dan ia juga bukan digunakan untuk membantu saksi mengingati sesuatu maklumat.
Seorang lagi peguam, Ram Karpal Singh pula menambah dengan menyatakan keterangan yang akan dibuat oleh saksi tersebut merupakan tambahan kepada laporan analisis profil DNA sedia ada.
Mohd. Yusof dalam hujahnya menyatakan, pihaknya juga tidak mempunyai nota tersebut kerana ia adalah nota peribadi dan keterangannya merupakan penjelasan kepada perbandingan yang telah dibuat.
Perbandingan ini telah dinyatakan dalam laporan profil tersebut, ujar beliau.
Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohamad Zabidin menyatakan bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai perkara tersebut pada pukul 2.30 petang.
Bagaimanapun, pada masa yang ditetapkan itu, kedua-dua pihak dilihat memasuki kamar hakim sekali lagi dan hanya keluar setengah kemudian.
Karpal kemudian memberitahu pihaknya menarik balik bantahan yang dibuat sebelum ini selepas dibekalkan dengan salinan nota terbabit -utusan
‘Sepadan DNA Lelaki Y’
KUALA LUMPUR 23 Feb. – Seorang ahli kimia memberitahu bahawa profil asid deoksiribonukleik (DNA) pada sebatang berus gigi, tuala kecil dan botol air mineral yang diterimanya adalah sepadan dengan profil DNA Lelaki Y yang ditemui di bahagian dubur Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Nor Aidora Saedon, 38, yang juga Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia sejak 2008 berkata, ini menunjukkan bahawa kedua- dua profil DNA tersebut iaitu pada barang berkenaan dan Lelaki Y datang daripada sumber sama.
Menurutnya, kesepadanan itu diperoleh setelah beliau membandingkan profil DNA melalui calitan putik kapas pada barang-barang tersebut dengan profil DNA Lelaki Y dalam laporan yang disediakan oleh seorang lagi ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong.
“Saya telah diminta untuk membandingkan keputusan saya dengan laporan yang dibuat oleh Dr. Seah (Lay Hong). Saya memperoleh salinan laporan Dr. Seah daripada Ketua Seksyen Divisyen DNA, Lim Kong Boon.
“Selepas membandingkan profil DNA saya dengan laporan profil DNA Dr. Seah, saya mendapati bahawa DNA yang diperoleh daripada berus gigi, tuala dan botol air mineral itu sepadan dengan penyumbang DNA yang tidak dikenal pasti Male Y (Lelaki Y).
“Ini menunjukkan bahawa profil DNA itu datang daripada sumber yang sama,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin pada perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Lay Hong dalam keterangannya di mahkamah pada minggu lalu menyatakan bahawa profil DNA Lelaki Y ditemui pada bahagian atas dan bawah salur dubur serta perianal (permukaan dubur) Mohd. Saiful Bukhari.
Dalam keterangannya, Nor Aidora memberitahu, perbandingan yang dibuat pada Short Tandem Repeats (STR) dalam loci profil DNA yang ditemuinya juga didapati menyerupai STR profil DNA dalam laporan kimia Lay Hong.
Menurutnya, untuk mendapatkan profil DNA tersebut, beliau telah melakukan calitan putik kapas pada bahagian berus dan pemegang berus gigi tersebut manakala calitan pada tu
ala dilakukan pada empat bahagian berasingan.
Sementara pada botol air mineral, calitan putik kapas dibuat pada bahagian pemegang dan di bahagian dalam serta luar mulut botol tersebut, katanya.
“Dalam kes ini, profil DNA berjaya ditemui pada calitan putik kapas pada berus gigi, tuala dan botol tetapi tidak pada dua helai bulu tersebut,” katanya.
Menurut Nor Aidora yang berkhidmat sebagai ahli kimia sejak 1998, beliau menjalankan analisis DNA ke atas calitan putik kapas itu pada 19 Julai 2008 sebelum selesai dua hari kemudiannya manakala laporan analisis diserahkan pada 22 Julai 2008.
Dalam keterangannya, saksi pendakwa keenam itu turut menjelaskan mengenai bagaimana analisis DNA yang dilakukan melalui kaedah tindak balas rantaian polimerase (PCR) dan keunikan DNA iaitu setiap individu tidak akan mempunyai profil DNA yang sama kecuali bagi kembar seiras.
Jelas ahli kimia itu yang telah membuat analisis ke atas lebih 100,000 sampel DNA, padanan antara kedua-dua sampel DNA itu juga diperoleh setelah beliau membuat pengiraan statistik ke atas kebarangkalian padanan berdasarkan kepada pangkalan data populasi tiga kaum utama di negara ini.
Menurutnya, kebarangkalian profil DNA itu mempunyai padanan adalah pada kadar 1 nisbah 470 quintillion (470 x 10 kuasa 18) bagi kaum Melayu, 1: 52 quintilion (Cina) dan 1: 210 quantilion (India).
Selepas Nor Aidora selesai memberi keterangan di peringkat pemeriksaan utama, peguam Ram Karpal Singh memohon masa sehingga Jumaat ini untuk meneliti dokumen ahli kimia itu sebelum menyoal balas saksi berkenaan.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan itu dan perbicaraan bersambung esok dengan seorang saksi lain akan dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwaan – utusan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...