Translate

06/02/2011

Anwar pengkhianat rakan - Anuar

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengkhianati rakannya dengan memungkiri janji untuk membantu mereka merupakan faktor aliran keluar ramai ahli parti itu sejak kebelakangan ini.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, pengunduran terbaru Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan turut berpunca perbuatan khianat Anwar terhadap janjinya memperjuangkan hak kaum India.

"Sebenarnya, Gobalakrishnan kecewa apabila Anwar tidak menghulurkan bantuan dalam kes sebuah kuil di Petaling Jaya yang diperjuang Ahli Parlimen Padang Serai itu.

"Begitu juga dengan isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya sedangkan dengan 'statusnya' dalam parti, beliau berkeupayaan bertindak kerana dua kawasan itu berada dalam negeri yang ditadbir pakatan pembangkang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sikap Anwar yang sanggup mengkhianati rakan termasuk yang sejak awal terlibat sebagai pengasas parti itu punca mengapa mereka bertindak keluar parti.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, setiap kali pemimpin PKR keluar parti, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seperti kehabisan modal apabila mengitar semula alasan kononnya mereka dibeli oleh UMNO.

"Jika jumlah yang keluar parti itu, seorang atau dua sahaja, mungkin ada asasnya tetapi sehingga hari ini, sudah berpuluh-puluh orang daripada pelbagai jawatan dalam PKR ambil keputusan sama, adakah semuanya dibeli?" soalnya.
Katanya, sikap Anwar yang 'putar alam' itu menjadi punca utama Gobalakrishnan hilang sabar dan bertindak keluar parti walaupun beliau merupakan antara pemimpin yang awal menjadi pengasas PKR.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddinmenyifatkan Anwar bukan sahaja mengkhianati rakan rapat, malah turut sanggup mengkhianati agama.

"Sewaktu saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, ada cadangan untuk membangunkan kawasan itu menjadi Serambi Mekah dengan mendirikan banyak sekolah agama.

"Namun, apa yang mengejutkan saya, beliau melenting kerana bimbang cadangan itu akan melukakan hati DAP. Bukankah tindakannya itu satu bentuk pengkhianatan terhadap syiar Islam di negara ini dan orang Islam di situ yang menyokongnya," soalnya.

Mengenai kenyataan Muhyiddin pula, Fairus menyifatkan perkara itu ada kebenarannya jika peribadi Anwar dibincangkan termasuklah bersama rakan-rakannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sendiri.

"Mereka yang sudah kenal lama dengan manusia bernama Anwar Ibrahim ini akan faham benar perangai tidak setia yang berakar umbi dalam dirinya.

"Jika kawan-kawan lama yang bersama-sama melalui zaman susah dan payah dengannya juga sanggup dikhianati, apatah lagi jaminan keadilan untuk golongan rakyat biasa. Dia memang bukan seorang pemimpin yang baik malah harus ditolak rakyat kerana sangat berbahaya," katanya.

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...