Translate

30/01/2011

Sudahlah pandai, dapat pula lagi kemudahan

Sedih, kata seorang remaja berusia 13 tahun. 

Mengapa?, saya tanya. 

“Budak-budak pandai dapat komputer baru. Kita cuma dibagi komputer lama,” kata pelajar tingkatan satu itu.

Menurutnya, di sekolah tempat ia belajar telah disusun semula kelas. Mula-mula dia diletakkan di kelas tingkatan 1B, mengikut keputusan UPSR-nya di mana dia memperoleh dua A.

Tetapi baru-baru ini, menurutnya kelas-kelas disusun semula apabila diwujudkan Kelas Rancangan Khas (KRK).

Maka pelajar-pelajar yang memperoleh 5A dan 4A yang sepatutnya dapat sekolah berasrama penuh, tetapi tidak dapat atau tidak mahu ditempatkan di kelas tingkatan 1 KRK.

Menurut dia, sekitar 20 orang pelajar tingkatan 1A ditempatkanlah di kelas KRK. Maka oleh itu dia dan sebahagian pelajar 1B dinaikkanlah ke tingkatan 1A. Bilangan pelajar di tingkatan 1A ialah 40 orang.

Banyak pelajar di kelas barunya itu juga yang memperoleh 5A dan 4A. Tetapi mereka tidaklah dapat ke kelas KRK. Ini kerana kelas KRK adalah untuk budak Melayu.

“Sudahlah pandai, dapat kelas tidak ramai pula.Kita ini sudahlah tidak berapa pandai, duduk pula kelas yang ramai,” komen remaja itu.

“Tidak adil. Macam kasta,” rungutnya lagi “Kasta?,” saya tanya.

“Inilah kasta alaf baru,” katanya.

Walaupun kemudian saya memujuknya supaya tidak berasa marah atau berdendam pada sekolah tetapi apa yang dikatakannya itu adalah realiti. Sejak dari dulu, sentiasa wujud perbezaan kedudukan manusia.

Kedudukan

Masyarakat manusia berfungsi dengan adanya perbezaan kedudukan. Pada waktu yang sama manusia akan berjuang untuk merapatkan jurang kedudukan ini. Tetapi perjuangan ini sentiasa berpanjangan, seolah-olah kecenderongan menuntut keadilan oleh manusia sentiasa diimbangi oleh sifat manusia yang mahu mengatasi manusia yang lain. Maka timbullah perbezaan itu.

Menurut ahli sejarah, perbezaan kedudukan ini ketara dalam masyarakat manusia apabila muncul cara hidup pertanian. Ketika itulah sistem bernegara muncul dengan adanya raja, bangsawan, hulubalang , petani dan hamba.

Maka timbullah tamadun yang mempunyai kasta: Ada golongan raja, agamawan, tentera dan berbagai lagi lapisan menurut keadaan masyarakat setempat dan zamannya.

Masyarakat di Nusantara, umpamanya kerajaan-kerajaan Sri WIjaya dan Majapahit sudah tentu mengamalkan sistem yang sama kerana mengambil tamadun serupa.

Apabila jurang perbezaan kedudukan sudah keterlaluan, maka muncullah tokoh-tokoh pembaharu yang berjuang untuk memperbaiki masyarakat. Agama lama digantikan dengan agama baru,

Fahaman politik lama digantikan dengtan fahaman politik baru. Tetapi apabila zaman berlalu, sistem yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh pembaharu menjadi bobrok, dan akan muncul usaha untuk membetulkan keadaan.

Ada masa usaha pembetulan ini berjaya. Tetapi tidak semestinya berjaya, malah ada kalanya menjadi bertambah buruk.
Keadaan jurang perbezaan kedudukan yang begitu luas bukan saja berlaku di sesuatu tamadun, tetapi juga di tempat-tempat lain. Dari China ke Mesopotamia, dari Yunani ke tamadun-tamadun Aztec dan Inca di Amerika Selatan.

Setelah beratus-ratus tahun berlangsung, maka berlakulah perubahan. Banyak tokoh-tokoh agama muncul di mana-mana pun di dunia untuk memperbaiki keadaan. Ada masanya berjaya, dan ada masanya tidak.

Gagasan

Gagasan demokrasi yang diasaskan di Yunani adalah untuk tujuan memberi keadilan kepada manusia. Tetapi gagasan awal demokrasi di Yunani bukanlah benar-benar adil pada kaca mata manusia hari ini. Hamba dan wanita tidak boleh mengundi.

Begitu juga gagasan republik di Rom. Tujuannya untuk merepatkan jurang perbezaan kedudukan di kalangan rakyat. Tetapi akhirnya mewujudkan suatu empayar yang melakukan penindasan juga.

Empayar Rom yang menindas sepatutnya menjadi murni apabila maharajanya memeluk agama Nasrani. Tetapi akhirnya empayar Bizantin juga menindas.

Perjuangan Islam juga menghapuskan jurang perbezaan kedudukan dalam masyarakat jahiliah Mekah. Islam mengajar keserataan umatnya.

Tetapi akhirnya wujud juga perbezaan kedudukan dalam Khilafah Umatyah, Abasiah dan Uthmaniah.

Pemberontakan Syiah pada awalnya adalah untuk menolak kezaliman yang dilakukan oleh Khilafah Umayah. Tetapi akhirnya apabila Syiah yang berkuasa melalui Saafawiah dan Qajar, berlaku juga perbezaan kedudukan dalam masyarakat.

Dalam zaman moden, negara-negara Barat memperjuangkan kebebasan dan demokrasi, tetapi mereka juga menindas dan melanggar hak asasi manusia semasa menjadi penjajah.

Revolusi Amerika dan Perancis seharusnya menghasilkan masyarakat demokratik tetapi akhirnya Amerika Syarikat dan Perancis menjadi negara yang wujud di atas darah peperangan.

Revolusi Rusia yang memperjuangkan kesamarataan pula dengan jelas telah membawa kesengsaraan amat dahsyat pada manusia di seluruh dunia. .

Begitu besarnya penderitaan manusia.

Untung Sabut Timbul

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...