Translate

05/01/2011

Masa beralih ke pengangkutan awam, nira nipah ganti gula

Pakar ekonomi yang juga Profesor Perakaunan dan Keusahawanan, Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK)


Langkah kerajaan menyelaraskan harga petrol, diesel, petroleum gas cecair (LPG) dan gula berkuatkuasa Jumaat lalu pada asasnya memang sudah dijangkakan oleh rakyat kerana sebelum ini pentadbiran negara sudah pun memaklumkan kepada umum mengenainya.
Penghapusan subsidi petrol RON 97 memang sudah dijangka. Namun mungkin ramai terkejut dengan penurunan subsidi untuk petrol RON 95 dan gas. Ini di luar jangkaan. Begitu juga dengan penurunan subsidi bagi gula adalah terlalu mendadak kerana harganya meningkat sebanyak 25 sen yang dijangka memberi kesan kepada harga minuman dan makanan.
Sebenarnya dari segi penjimatan aliran tunai, kesannya agak kecil berbanding jumlah subsidi sebanyak RM40 bilion yang dibayar kerajaan. Namun, impaknya kepada masyarakat umum dijangka agak besar khususnya kesan terhadap harga makanan.
Mungkin kerajaan sepatutnya menimbangkan dulu masa pengurangan subsidi itu kerana kini sudah hampir dengan Ramadan dan Syawal menjelang tiba September nanti.
Apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah menunjukkan betapa seriusnya usaha menghapuskan subsidi RM40 bilion itu dan secara agresif memulakan penghapusan subsidi terhadap industri seperti gas kerana ia membabitkan jumlah subsidi yang lebih besar.
Bagi rakyat, kini adalah masa sesuai untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan penghapusan subsidi secara berterusan dengan cuba melakukan beberapa aktiviti khusus seperti berjimat dengan mengurangkan penggunaan.
Pertamanya gula. Umum mengetahui, gula sudah sememangnya dibuktikan sebagai racun ketagihan. Malangnya walau apa pun amaran diberi mengenai penggunaan gula, ia terus menjadi minat ramai disebabkan proses ketagihan ini.

Kempen kesihatan sudah bertahun dijalankan tetapi tidak begitu berjaya. Perlu dilakukan satu revolusi mental untuk menyedarkan mengenai betapa bahaya ketagihan gula di kalangan masyarakat Malaysia ini. Rakyat Malaysia perlu mengurangkan penggunaan gula sekurang-kurangnya 60 peratus untuk mencapai tahap sihat dan berupaya menghadapi penghapusan subsidi gula.

Kedua, menggunakan kenderaan sendiri sebagai asas pengangkutan penting juga sudah menjadi tradisi dan budaya hidup di kota dan luar kota di Malaysia – sebagai fenomena pembangunan yang pesat. Memiliki kenderaan sendiri adalah satu simbol status taraf hidup. Kini kejayaan keluarga diukur dengan melihat kereta apa yang dipandunya dan berapa kereta ada di depan rumah.
Pengangkutan awam yang kurang berkesan juga biasa disalahkan. Namun, masalah tempat letak kereta yang terlalu sesak di bandar raya tidak pula menjadi isu besar. Pengguna kenderaan perlu memikirkan untuk mengurang penggunaan petrol sebanyak lebih 50 peratus, supaya menampung penghapusan subsidi petrol.
Kemungkinan penyelesaian masalah ialah menggunakan pengangkutan awam ke tempat kerja, menukar ke kenderaan hibrid atau kuasa bateri atau menukar kenderaan lebih kecil. Berjalan kaki boleh menjadi seseorang itu lebih sihat, namun cuaca terik di negara kita tidak memungkinkan ini dilakukan kebanyakan pengguna.
Selain itu, pengguna boleh menambah pendapatan dengan melakukan aktiviti ekonomi sampingan supaya menjadi lebih produktif. Setiap keluarga perlu belajar dan cuba membuat ‘laman web’ keluarga sendiri bagi memasarkan produk. Hari ini, ada suri rumah berupaya memperoleh pendapatan bersih RM30,000 sebulan hanya dengan menjual kek atau gubahan bunga serta buah-buahan melalui internet.
Setiap keluarga juga mungkin boleh bercucuk tanam di keliling rumah atau di dalam pasu di apartmen masing-masing seperti tomato, cili dan beberapa jenis sayur boleh membantu mengurangkan perbelanjaan pasar.
Selain itu, setiap keluarga sentiasa cuba memadankan jumlah pendapatan dengan jumlah perbelanjaan supaya perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Jika sebaliknya berlaku secara berterusan lebih tiga bulan, maka ia satu amaran bahaya dan memerlukan tindakan segera dengan membuat ‘potongan belanjawan.’
Sebenarnya, alternatif sentiasa wujud dan setiap orang perlu sedikit ikhtiar seperti;
# Mencari bahan gula alternatif. Pokok nipah misalnya adalah sumber gula yang lebih baik dan ada lebih 300,000 hektar hutan nipah (pokok nipah liar) di seluruh negara. Setiap pokok nipah menjana antara tiga hingga lapan liter nira nipah. Satu hektar mempunyai lebih 5,000 pokok nipah. Setiap liter nira nipah mengandungi 90 peratus air mineral dan 10 peratus sirap nipah.
Sirap nipah dibuktikan sebagai gula yang lebih baik untuk kesihatan berbanding gula tebu. Apa yang perlu ialah untuk kita mengasingkan kandungan sulfur di dalam sirap nipah ini untuk menghasilkan gula putih daripada nira nipah. Kita boleh mewujudkan industri nira nipah di Malaysia yang potensinya lebih baik daripada kelapa sawit.
Bayangkan satu hektar nipah boleh menghasilkan hampir 20,000 liter nira nipah yang boleh diasingkan air mineralnya untuk dibotol dan dijual. Sirapnya boleh dibuat gula, jika lebih boleh diproses menjadi bahan bakar bio ethanol yang jauh lebih baik dan murah berbanding petrol. Kita perlu segera mengkaji penubuhan industri nira nipah ini sebagai penyelesaian muktamad subsidi gula dan sebagai satu lagi gagasan skim ekonomi untuk membela rakyat miskin seperti FELDA.
# Pengangkutan awam pastinya menjadi matlamat unggul. Namun ini adalah matlamat jangka panjang kerana negara masih perlu melabur lebih RM100 bilion untuk mewujudkan jaringan sistem pengangkutan awam yang cekap di negara kita.
Mungkin satu strategi besar menghapuskan subsidi perlu dilaksanakan melalui perancangan dan kempen besar-besaran yang secara khusus menyasarkan jumlah subsidi yang perlu dihapuskan setiap tahun dan setiap pihak yang patut bertanggungjawab menerima kesan penghapusan ini.
Jika kerajaan benar-benar serius mengukuhkan ekonomi melalui penghapusan subsidi, maka ia perlu mengatur dan merancang penghapusannya secara menyeluruh membabitkan semua pihak khususnya sektor industri yang pada masa ini adalah penerima subsidi terbesar.
Adalah agak janggal jika subsidi hanya dikaitkan dengan kumpulan pengguna dan golongan berpendapatan kecil dan sederhana yang sentiasa merasai tekanan daripadanya berbanding kumpulan berpendapatan tinggi dan industri.
Pada masa sama, setiap pengguna perlu memikirkan bagaimana mereka perlu bersikap positif dan menyumbang kepada matlamat menghapuskan subsidi melalui pengurangan penggunaan barang disubsidi seperti beras, gula, petrol, gas dan sebagainya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...