Sejak Najib memimpin, pelbagai dasar dan agenda dilancar, diumum dan disampaikan. Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Model Baru Ekonomi (MBE), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan 1Malaysia merupakan ‘Doktrin Najib’.
Pelaksanaan dan pemantauan ke atas gagasan ini akan menjadi tumpuan sepanjang 2011. Pencapaian dan keputusannya memberi gambaran bilakah pilihan raya umum diadakan. Barangkali tahun 2012. Selepas keberkesanan dan pencapaian diteliti serta data dikemas kini.
Pertemuan Najib dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) minggu ini mencari kepastian sama ada 222 kawasan Parlimen boleh dilabel putih (kubu kuat BN), kelabu (masih boleh menang walau samar-samar) ataupun hitam (kubu kuat pembangkang). Tanpa 75 peratus kawasan putih, sukar untuk Perdana Menteri mengumumkan tarikh pilihan raya dalam masa terdekat.
Justeru, yang penting buat masa ini adalah bagaimana transformasi dilakukan melalui sistem penyampaian yang cekap, efektif dari segi kos dan lancar.
Jika sektor awam, swasta, pembuat dasar, pelaksana dasar dan rakyat sebagai kumpulan sasar bergandingan dan memahami tugas masing-masing, kesemua agenda boleh menjadi kemuncak kejayaan kepimpinan Najib.
Dilemanya adalah bagaimana untuk mendekati kumpulan sasar yang berbeza terutama di kawasan luar bandar agar mereka dapat menggarap nilai sebenar agenda kepimpinan Najib.
Adakah mereka memahami PTK, NKRA, PTE mahupun MBE? Apa isu sebenar pengundi baik di bandar mahupun luar bandar? Adakah sasaran yang ditetapkan oleh pengundi dari pemimpin difahami dan telah dibuat penilaian sepenuhnya?
Hasil tinjauan Merdeka Centre wajar dijadikan rujukan. Hanya 27 peratus dari responden Cina menyatakan kerajaan berada di landasan yang betul. Kira-kira 25 peratus menyatakan ekonomi negara boleh meningkat. Sekitar 19 peratus responden etnik ini menganggap bahawa PTE membolehkan negara mencapai status negara maju berbanding 61 peratus responden Melayu dan 55 peratus responden India.
Walau banyak usaha dilakukan Najib, mengapa masyarakat Cina masih tidak berganjak? Sokongan pengundi Cina di Bagan Pinang dan Galas kembali kepada BN tetapi secara menyeluruh masih di tahap tidak berpihak kepada BN.
Kesedaran mengenai PTE dalam kalangan kesemua kumpulan etnik juga membimbangkan.
Mungkinkah komunikasi kerajaan tidak sampai kepada kumpulan tertentu sehingga dianggap kompleks atau pendekatan perlu diubah?
Koordinasi antara pihak berwajib dan kumpulan sasar perlu melahirkan keserasian dua hala jika mahukan hasil positif.
Oleh itu, wajar bagi kerajaan memikirkan bagaimana untuk merealisasikan sasarannya melalui majlis daerah, jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) atau pimpinan akar umbi.
Apa yang dekat di hati pengundi di setiap kawasan adalah isu tempatan seperti infrastruktur, kemudahan asas, peluang perniagaan dan pekerjaan, kemiskinan, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.
Isu lain termasuklah sejauh mana rutin harian mereka tergugat dengan pergolakan politik, ekonomi dan sosial negara seperti kenaikan harga barang, rasuah, jenayah, diskriminasi dan kesaksamaan.
Memperkasakan masyarakat setempat dengan membina NKRA dan pelan tindakan sesuai dengan sesebuah kawasan akan meningkatkan pemahaman rakyat ke atas dasar negara.
Usaha mengukuhkan kedudukan pimpinan akar umbi yang sebelum ini begitu aktif menangani masalah masyarakat perlu dibangunkan semula. Mereka dikenali sebagai gurkha parti yang bekerja siang dan malam untuk memastikan nilai tersebut diterjemah dalam bentuk undi.
Ini perlu disalurkan oleh Najib kepada semua 222 wakil rakyat dan penyelaras kawasan dalam pertemuan beliau dengan mereka.
Para pemimpin ini perlu jujur kepada Pengerusi BN tanpa membodek ataupun menyatakan perkara yang hanya sedap didengar dan menyorok situasi sebenar di kawasan masing-masing. Ini merupakan kesempatan untuk melakukan sumbang-saran demi membina semula kedudukan di kawasan masing-masing.
Jika penyelaras DUN dan kawasan Parlimen serta barisan kepimpinan menerajui perubahan dan keyakinan, kepercayaan umum akan kembali terbina. Pengundi hari ini bijak dan tidak lagi beremosi seperti pada Mac 2008.
Walaupun isu kebangsaan akan digunakan sebagai senjata berkempen, isu tempatan sudah menjadi dominan dan akan menjadi teras dalam pilihan raya umum akan datang. Ini termasuklah latar belakang calon dan keberkesanan jentera parti. Jentera parti di peringkat tempatan perlu diiktiraf dan diberi penghormatan untuk menunjukkan harapan pimpinan atasan kepada pimpinan bawahan.
Tahun 2011 juga akan melihat siapakah yang kreatif dalam memanipulasi persepsi umum. Ia merupakan satu kesinambungan dari tahun lalu yang masih tidak dapat diatasi oleh strategis Najib sepenuhnya.
Maka, perubahan kepimpinan yang berlaku dalam komponen parti BN perlu bersama memobilisasi sokongan di peringkat akar umbi agar yang diutamakan adalah rasa tanggungjawab ke atas keperluan dan kemahuan rakyat.
Pemikiran rakyat biasa perlu bijak dihalusi jika mahu mendapatkan semula sokongan padu. Begitu juga dengan perubahan kepimpinan negeri dalam parti UMNO yang sudah tiba masanya untuk memperkemaskan jentera parti.
Cabaran Najib selain menyusun strategi menjana hasil memberangsangkan dalam kesemua pelan transformasi adalah memastikan kerjasama dalam parti kekal stabil dan krisis kepimpinan pada tahap minimum.
Mekanisme belakang tabir perlu diaktifkan supaya media bukan dijadikan tempat meluahkan rasa tidak puas hati tetapi bermusyawarah dalam mencari titik penyelesaian.
Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan menjadi kayu ukur sama ada BN bergerak sebagai ‘satu pasukan’ dan bukan ‘pelbagai pasukan’ di bawah bumbung yang sama.
Jika jentera parti bersepadu, tidak perlu bimbang dengan lawan. Walau yakin menang di Tenang, bilangan majoriti menjadi taruhan sebenar.
BN kini dikatakan sedang mengembalikan sokongan sementara pembangkang bergelut dengan masalah dalaman untuk mengekalkan momentum.
Trend politik 2011 dilihat masih akan bertumpu kepada ‘manipulasi’ sekali gus menyebabkan industri politik melahirkan lebih banyak isu dan komentar serta calon politikus.
Misalnya, isu Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang kerja merobohnya ditangguhkan sehingga 15 Januari 2011 boleh menjadi satu lagi isu seperti Kampung Buah Pala, Pulau Pinang jika Kerajaan Pusat gagal menanganinya dengan bijak.
Jika di Pulau Pinang barisan pembangkang bertanggungjawab ke atas kemelut tersebut sehingga menimbulkan perasaan curiga pengundi India, isu Ladang Bukit Jalil boleh menyebabkan BN kehilangan sokongan yang sedang kembali perlahan-lahan. Barisan pembangkang pasti manipulasi isu berkenaan seolah-olah Kerajaan Pusat menindas kebajikan penduduk di situ.
Dalam Pilihan Raya Umum (PRU 13) mereka tidak lagi boleh menyalahkan pengundi hantu atau memilih untuk melihat kelemahan lawan semata-mata. Kekuatan pembangkang sendiri akan menjadi asas ukuran PRU 13.
BN juga perlu mencari kekuatan. Cabaran besar Najib adalah untuk memobilisasi sokongan bertunjangkan kekuatan BN supaya mandat pilihan raya dapat digunakan untuk meletakkan landasan perjalanan beliau dalam meneruskan transformasi tanahair.
Tahun 2011 barangkali boleh dinamakan sebagai ‘tahun persediaan pilihan raya’ dan pelaksanaan manifesto – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ dalam berhadapan dengan slogan ‘Ubah Sekarang dan Selamatkan Malaysia’ oleh barisan pembangkang.
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia