Translate

10/12/2010

Solat antara Tradisi dan Sunnah - Bhg 1


Sabda Nabi s.a.w.: “Permulaan amalan yang diperiksa dari seseorang hamba pada hari kiamat ialah solatnya. Diperhatikan benar-benar solatnya. Maka jika urusan solatnya baik, dia mendapat kemenangan. Jika urusan solatnya tidak baik, rugi dan sia-sialah usahanya.”(Hadis sahih riwayat Ath-Thabarani dari Anas r.a., At-Targhib 1:184).


Mereka mungkin tahu tentang matan (isi kandungan) hadis di atas kerana ia sering dibaca oleh para ustaz dan penceramah di masjid tetapi masih ramai yang belum sedar dari ‘lamunan’ mereka. Rasa ingin belajar dari berbagai sumber dengan berbagai cara telah terhakis dari hati, kadang kala untuk mengorbankan wang ringgit membeli bahan agama yang boleh memberikan manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan orang lain juga terasa malas,‘berat poket’ dan takut rugi.


Firman Allah SWT(maksudnya): “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya.”(surah al-Maun:4-5)



Nabi s.a.w. bersabda : “Akan datang kepada manusia (umat Muhammad s.a.w.) suatu masa, di mana banyak orang yang merasakan dirinya bersolat, padahal sebenarnya mereka tidak bersolat.”(Hadis riwayat Ahmad; sila baca huraian al-Imam Ahmad dalam Risalah Ash Shalah:45).



Sebenarnya artikel ini menceritakan tentang SOLAT sahaja tetapi dari 3 sudut yang berbeza berdasarkan tabiat manusia yang enggan ‘menilai semula solat’ mereka. Ia menunjukkan hati manusia yang ‘mati dan lalai’ kerana jauh dari cahaya wahyu dan sunnah serta ‘akal yang berkarat’ dek malas berfikir dengan lebih luas dan mendalam.



Firman Allah SWT(maksudnya): Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(surah Ali-‘Imran:31).



Firman Allah SWT(maksudnya): “Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w. terdapat contoh yang terbaik (sunnah) bagi sesiapa yang mengharap (rahmat) daripada Allah serta menanti kedatangan hari akhirat. Bahkan dia banyak mengingati Allah.”(surah al-Ahzab:21).



Maka menjadi tanggungjawab kita terhadap Rasul berhimpun kepada 2 asas iaitu “cinta dan ikut”. Menyintai diri al-Rasul kerana baginda adalah pilihan Allah dan bertanggungjawab menyampaikan ajaran-Nya serta mengikuti dan mematuhi apa yang baginda lakukan sampaikan daripada Allah. Kedua-dua ini disebut al-hubb wa al-Ittiba’. Tidak berpada sekadar cintakan Rasul, tetapi hendaklah dalam masa yang sama mengikuti ajarannya. Demikian tidak berpada sekadar mengikutinya, tetapi hendaklah diikuti dengan cinta.



Sesiapa yang mencintai Rasulullah tetapi tidak mahu mengikuti ajarannya, dia sebenarnya tidak memenuhi tanggungjawab terhadap al-Rasul. Abu Thalib juga semasa hayat mencintai Nabi s.a.w., namun beliau tidak mengikut ajaran baginda maka beliau tidak selamat di akhirat. Sesiapa yang hanya mengikuti Nabi s.a.w., namun tidak menyertakan di dalam jiwanya kecintaan, maka tidak memenuhi tuntutan iman.



Sesiapa yang membenci baginda, sekalipun mengikut ajaran baginda, maka dia sama dengan golongan munafik Madinah yang terpaksa berpura-pura mengikuti Nabi s.a.w., walaupun hati mereka benci. Inilah jiwa ‘Abd Allah bin Ubai bin Salul, ketua munafiqin Madinah dan para pengikutnya.



Firman Allah SWT(maksudnya): “Maka demi Tuhan-Mu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam apa-apa perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”(surah al-Nisa’:65).



Firman Allah SWT(maksudnya): “Apakah bagi mereka sekutu-sekutu yang membuat syariat, mana-mana bahagian dari agama mereka apa yang tidak diizinkan oleh Allah?" (surah al-Syura:21).



Segelintir orang akan ‘bising’ terutama orang masjid apabila ditegur solat mereka yang menyalahi tunjuk ajar dan perintah Nabi s.a.w. Bagi mereka dari asyik menegur solat mereka yang salah, adalah lebih bagus ditegur dan ditarbiyah orang muslim yang tidak mahu bersolat. Samada orang yang bersolat tetapi tidak menepati perintah dan tunjuk ajar Nabi s.a.w. atau orang yang tidak mahu bersolat adalah sama sahaja, kedua-duanya merupakan jalan syaitan!



Kenapa kedua-dua golongan di atas sama sahaja? Sedangkan satu pihak ikhlas beribadat kepada Allah SWT walaupun tidak mengikut perintah dan tunjuk ajar Rasulullah s.a.w. Manakala satu pihak lagi memang tidak mahu bersolat.



SYARAT DITERIMA AMALAN SOLEH (IBADAH) DALAM ISLAM



Pertama : Ibadah hendaklah dibina di atas akidah yang sahih. Sesiapa yang tidak berada atas iman yang sahih atau Islamnya terbatal, maka ibadahnya tidak diterima. Firman Allah SWT(maksudnya): “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh sama ada lelaki atau perempuan dalam keadaan dia mukmin, mereka itu memasuki syurga dan mereka tidak dizalimi walaupun sedikit.”(surah al-Nisa’:124).



Dalam ayat di atas ALLAH dengan jelas mensyaratkan seseorang yang ingin melakukan amal soleh itu hendaklah mukmin, iaitu beriman kepada ALLAH dalam ertikata iman yang sebenar. Dia juga hendaklah tidak melakukan perkara-perkara yang merosakkannya. Dengan itu sesiapa yang akidahnya rosak maka amalannya sama sekali tidak diterima walaupun kelihatan banyak dan hebat. Ini kerana setiap amalan dalam Islam dibina di atas asas aqidah.



Kedua : Ikhlas hanya kerana ALLAH. Ini adalah satu perkara asas yang diketahui oleh kebanyakan muslim. Dalil-dalil mengenainya begitu banyak dalam al-Quran dan al-Sunnah. Malang sekali bagi sesetengah pihak yang mendakwa mereka berpegang dengan ajaran sufi atau tarikat untuk membersihkan diri dalam masa yang sama mereka cuba menonjol secara riyak. Mereka ini gemar berpakai tertentu atau sentiasa memegang tasbih di tangan ketika berjalan demi menonjol perwatakan kononnya mereka golongan yang mensucikan jiwa.



Juga mereka suka bermegah-megah bila berbicara dengan orang lain seakan-akan mereka sudah berada pada makam kerohanian yang tinggi. Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (wafat 597 Hijrah) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan: “Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan membiarkan serban dan janggut tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini adalah dari bahagian riyak."
Ketiga : Mestilah bertepatan dengan apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Ini berdalilkan apa yang disebut oleh ALLAH SWT(maksudnya): “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah daku, nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(surah Ali-‘Imran:31).



Dalam hal ini Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut: “Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan ALLAH semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan ALLAH, dengan kaifiyyat (cara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan."



Katanya juga: "Tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-imam kaum muslimin sekalipun tinggi ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin sama ada kecil atau besar untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang baru dalam agama ALLAH, atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama, atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. Ini kerana hanya ALLAH sahaja pembuat syariat dan al-Rasul pula adalah penyampai, sedangkan kita hanyalah pengikut. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan ALLAH dan Rasul-Nya."



Justeru itu, maka ibadah yang tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh baginda s.a.w.sekalipun niat pengamalnya baik, adalah tertolak. Sabda baginda s.a.w.: Daripada Aisyah r.ha, katanya: sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak.”(Hadis sahih riwayat Muslim)



Firman Allah SWT(maksudnya): “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu)-untuk menguji kamu.: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun.”(surah al-Mulk:2).



Makna ‘lebih baik amalnya’ ialah siapa yang amalannya paling ikhlas dan paling betul. Ini kerana amalan sekalipun ikhlas tetapi jika tidak betul maka ia tidak diterima, begitu juga sekiranya betul tetapi tidak ikhlas juga tidak diterima, sehinggalah ia menjadi ikhlas dan betul.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...