Jumaat, 26 November 2010

Pendatang perlekeh penduduk setempat

Khamis, 25 November 2010


PUCHONG: Bukan hanya bersikap besar kepala, tetapi kumpulan pendatang asing yang dipercayai menetap di rumah kongsi dan rumah terbengkalai di La Cottage dan Nusa Putra, dekat Taman Putra Perdana, juga berani memperlekehkan penduduk setempat yang menegur tindakan kurang ajar mereka.
Lebih menimbulkan perasaan tidak selesa di kalangan penduduk apabila golongan itu menjadikan kawasan rumah kongsi dalam kawasan semak itu sebagai tempat berjudi terutama pada malam minggu apabila kawasan rumah kongsi dikunjungi orang luar seolah-olah satu temasya.


Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat beberapa penempatan rumah kongsi di kawasan perumahan itu. Malah, kedudukan taman perumahan yang agak terpencil turut menjadi antara punca golongan terbabit berani melakukan kegiatan tidak berfaedah dan berkelakuan tidak senonoh.

Malah, penduduk setempat mendakwa golongan itu tanpa segan silu mengakui mereka dilindungi pihak tertentu menyebabkan mereka berani bermaharajalela.


Dianggarkan, terdapat hampir 60 pendatang asing di rumah kongsi sekitar La Cottage dan 30 orang lagi di Nusa Putra.

Peniaga yang dikenali sebagai Amin, 30, mendakwa kehadiran golongan itu di kawasan berkenaan menimbulkan perasaan takut di kalangan penduduk setempat, apatah lagi rumah mereka itu agak terpencil.


Menurutnya, sebelum ini sebahagian daripada pendatang asing itu bekerja di tapak pembinaan rumah berhampiran. Bagaimanapun, projek berkenaan dihentikan pada 2005 sebelum kerja pembinaan dimulakan beberapa bulan lalu.


“Ada antara pendatang asing wanita hanya berkemban ketika mandi di lombong berhampiran menyebabkan kami malu apabila melihat gelagat itu, selain mengancam keselamatan berikutan pernah berlaku beberapa kes pecah rumah termasuk pernah mengacukan parang ke arah seorang kanak-kanak dalam satu kes tahun lalu,” katanya yang menetap hampir tujuh tahun di kawasan berkenaan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...