Translate

26/11/2010

Amalkan usaha pemuliharaan yang lebih beretika

SAYA merujuk kepada artikel (akhbar berbahasa Inggeris) Record, but hatchlings may all die (Satu rekod, tapi semua anak penyu akan mati) mengenai pelepasan terbanyak anak penyu yang dilakukan Jabatan Perikanan di pantai Rantau Abang, Dungun.

Ramai pakar dalam bidang penyu melahirkan rasa kekesalan mereka.  Acara yang dianjurkan oleh Jabatan Perikanan melalui Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) ini didakwa untuk meningkatkan usaha pemuliharaan di kalangan masyarakat umum termasuk untuk menyerlahkan kejayaan pengurusan dan pemuliharaan penyu di Terengganu.

Namun dalam erti kata lain, ini hanyalah satu acara publisiti semata-mata.  Dalam apa juga usaha pemuliharaan, keutamaan perlulah diberi kepada haiwan itu sendiri dan dalam kes ini, penyu (atau lebih tepat, penyu agar).

Di Malaysia, ada empat spesies penyu yang direkodkan (termasuk penyu belimbing, lipas, karah dan agar) namun sebilangan besar penyu yang digunakan hanyalah penyu agar.  Anak penyu yang dilepaskan pada acara ini juga dikatakan sudah agak ‘tua’ dan tidak boleh dianggap anak penyu yang baru menetas.  Dan untuk menyatakan acara ini hanya bertujuan untuk melepaskan anak-anak penyu sahaja juga tidak boleh disokong disebabkan ada penyu dewasa turut digunakan.  Apa pun, apa yang menjadi kekesalan utama terhadap acara ini ialah metodologi atau kaedah yang digunakan untuk melepaskan anak-anak penyu itu.

1) Anak-anak penyu telah ‘disimpan’ selama 3-5 hari sebaik sahaja mereka menetas. Sehingga kini, tidak ada kajian saintifik yang mencadangkan anak-anak penyu itu boleh ‘ditahan’ sebaik menetas sebelum dilepaskan ke laut.  Pengasas Pusat Konservasi Penyu, Prof. Chan Eng Heng menyatakan, menahan anak-anak penyu itu hanya akan membuatkan mereka lapar yang akhirnya menyebabkan mereka lemah dan mudah menjadi mangsa kepada pemangsa semasa dilepaskan.

2) Mereka yang hadir semasa acara itu mengatakan pelepasan dilakukan pada pukul 5.45 petang dan ini bermakna keadaan cuaca tidak gelap. Anak-anak penyu secara asli akan menetas dan memulakan penjelajahan mereka pada waktu malam untuk mengurangkan ancaman pemangsa.  Menambah kenyataan ini, Ketua Projek Unit Penyelidikan Penyu (SEATRU) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Juanita Joseph berkata, pelepasan terbanyak dalam satu masa terutama pada waktu itu hanya akan membuatkan anak-anak penyu tersebut menjadi umpan kepada pemangsa (seperti ikan yu atau ikan yang lebih besar) dengan lebih mudah (feeding frenzy).

3) Mesej yang ingin disampaikan kepada orang ramai juga tidak bersifat akademik. Acara ini perlu mempunyai mesej utama yang secara tersendiri bersifat ilmiah sebagai contoh cara pelepasan yang dilakukan.  Terdapat banyak resort yang melakukan cara menetas dan pelepasan yang salah dengan cara menyimpan anak-anak penyu dalam tempoh yang lama dan melepaskan pada waktu salah.

Acara ini sepatutnya menjadi contoh terbaik yang boleh menjadi ikutan kepada orang ramai, inisiatif pemuliharaan penyu dan resort bagaimana untuk melepaskan penyu dengan betul.  Namun, agak malang sebab bukan hanya 2,428 anak-anak penyu itu dilepaskan dengan cara yang salah, namun ia bakal menjadi ikutan disebabkan pada pandangan mereka, inilah cara yang betul kerana pihak berkuasa yang lakukan.

Mungkin TUMEC berjaya menganjurkan acara yang gilang-gemilang, namun mereka sepatutnya tidak terlepas pandang etika pelepasan yang sudah termaktub melalui protokol Jabatan Perikanan.  Acara ini sepatutnya bukan hanya menjadi tumpuan penduduk negara ini tetapi perlu menjadi contoh kepada masyarakat global mengenai arah tuju pemuliharaan Malaysia.

Secara tepat, boleh saya katakan, ini merupakan ‘Pelepasan Terbanyak Penyu Agar Yang Dilakukan Dengan Cara Pemuliharaan Yang Salah’. Biarkan ia dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records.

Pengarah Help Our Penyu (HOPE)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...