Jumaat, 1 Januari 2016

Keputusan Analisis Kimia Dalam Negara Pun Dua Hingga Tiga Minggu ???

KUANTAN 31 Dis. - Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar memandang serius kejadian warna air laut bertukar merah di Pantai Batu Hitam di sini yang dikatakan berpunca dari stok penyimpanan bauksit berhampiran Pelabuhan Kuantan, tidak jauh dari kawasan perkampungan Sungai Pengorak.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan kejadian laut merah di pantai itu pada Selasa lalu dan menjalankan persampelan kualiti air sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Semalam, JAS sekali lagi menjalankan persampelan air dan menjalankan siasatan bersama Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) negeri di kawasan terlibat.

“'Keputusan analisis kimia dijangka diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga minggu memandangkan analisis bagi sesetengah parameter pencemar perlu dijalankan di makmal Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, JAS masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian laut merah tersebut.

Dalam masa sama, kata beliau, pemantauan kualiti air di kawasan dikenal pasti terkesan dengan aktiviti perlombongan bauksit yang dijalankan sebelum ini masih diteruskan.

“Sebagai langkah awal, JAS Pahang bersama JPS diarahkan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut. JAS dan JPS telah ke jeti nelayan Kampong Balok Pantai di sini untuk mengambil sampel air di muara sungai.

“Berdasarkan pemerhatian, kawasan terjejas dianggarkan 100 meter ke tengah laut dengan unjuran pesisiran pantai kira-kira 10 kilometer. Empat botol sampel air di kawasan ini diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia,” ujarnya.

Tambah beliau, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri akan menjalankan audit terhadap pematuhan syarat-syarat lombong manakala JPS diarahkan memantau ketinggian paras air sungai.
“Satu sesi pemeriksaan di kawasan lombong akan turut disertai oleh JAS Pahang bersama dengan JMG dan JPS. Pemantauan berterusan akan dilaksanakan oleh JAS negeri untuk memastikan kualiti air pulih seperti sedia kala,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...