Rabu, 21 Oktober 2015

PULAU PINANG MENJADI HAB SINDIKET PENGEDARAN DADAH ANTARABANGSA

Pulau Pinang Dikenal Pasti Hab Pembuatan Dadah
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang dikenal pasti antara negeri yang menjadi hab pembuatan dadah sindiket pengedaran antarabangsa bagi pasaran di rantau ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata trend berkenaan berdasarkan peningkatan nilai hasil rampasan, jumlah penahanan serta serbuan yang dilakukan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu sejak kebelakangan ini.

"Pulau Pinang memiliki pusat pengangkutan yang baik, kini menjadi hab pengeluaran, mudah membawanya keluar dari Pulau Pinang ke Thailand dan Indonesia," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Suruhanjaya Global Mengenai Polisi Dadah and Majlis Aids Malaysia di Parlimen di sini, hari ini.

Pada masa sama, Nur Jazlan berkata kedudukan strategik serta laluan perairan Pulau Mutiara itu juga menjadi faktor utama kemasukan sindiket pengedaran dadah yang menjadikannya sebagai transit untuk membawa masuk bahan terlarang berkenaan.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata kementerian sedang merumuskan draf akhir Dasar Dadah Negara yang meliputi aspek perundangan, pemulihan, pencegahan dan pendidikan yang lebih berkesan bagi membendung ancaman gejala dadah yang semakin meruncing di negara ini.

Nur Jazlan berkata dasar baharu itu dirangka bagi menjadikan Malaysia bebas daripada ancaman dadah, sekali gus dapat menghapuskan bekalan dan permintaan dadah.

"Dasar baharu itu diharap dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan agama, budaya dan kepelbagaian kaum di negara yang akan melaksanakan hukuman pengajaran dan pendidikan yang lebih bersesuaian berbanding rawatan pemulihan biasa," katanya.

Perjumpaan kira-kira 45 minit itu diketuai bekas Presiden Switzerland Ruth Dreifuss yang membincangkan mengenai persetujuan Malaysia menyertai sidang khas Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai dadah pada tahun depan.-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...