Khamis, 27 November 2014

"WARLORD" PERLU DITANAM HIDUP-HIDUP BAGI MENYELAMATKAN UMNO ??

Umno perlu kenal pasti siapa ‘WARLORD’

Umno perlu mengenal pasti siapakah 'warlord' dalam parti yang menyebabkan anggota dan masyarakat menjauhkan diri sehingga melemahkan parti, kata Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata parti tonggak Barisan Nasional (BN) ini mesti melihat dengan serius dan memperbetul persepsi umum  'Umno dikuasai oleh warlord' bagi membolehkannya meraih kembali keyakinan rakyat untuk menyokong parti.

'Warlordism' yang dimaksudkan ini adalah dia menyebabkan orang lari daripada Umno. Ini yang perlu kita tentukan, siapa dia orang itu," katanya semasa melawat Laman Media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam tadi berkongsi pandangan orang muda yang melihat Umno antara lain dikuasai 'warlord'.

"Kita perlu buktikan warlord bukan sebahagian daripada budaya Umno. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut," kata Muhyiddin.

Mengenai peremajaan Umno yang dilihat menjadi fokus perhimpunan agung kali ini, Shabery berkata perkara itu perlu diperhalusi agar hasrat berkenaan dapat diterjemah dengan tepat.

"Ramai orang melihat soal peremajaan dan bagaimana Umno nak diremajakan. Apakah perlu pertukaran pucuk pimpinan dan di peringkat mana?," katanya.

Shabery, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang turut meninjau infrastruktur dan tahap kelajuan jalur lebar di Laman Media, berkata kemudahan berkenaan akan dipertingkatkan bagi memudahkan liputan secara masa nyata dapat dilakukan oleh pengamal media pada masa depan.

Sebanyak 1,452 petugas media daripada 106 akhbar dan agensi berita dalam dan luar negara membuat liputan pelbagai program sempena Perhimpunan Agung Umno 2014. – Bernama, 26 November, 2014.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...