Translate

03/09/2012

TINDAKAN KE ATAS 'BINATANG-BINATANG' PEROSAK NEGARA PERLU DISEGERAKAN

Tiga pasukan khas siasat kes biadab di ambang merdeka
3 pasukan siasat kes biadab Ambang Merdeka

KUALA LUMPUR - Polis membentuk tiga pasukan khas bagi menyiasat tiga laporan yang dibuat membabitkan insiden di Dataran Merdeka, serangan terhadap bas Jelajah Merdeka Rakyat dan berhubung tindakan penganjur "Himpunan Janji Bersih" yang telah melanggar Akta Perhimpunan Aman 2011.
   
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata dalam insiden pertama yang berlaku di Dataran Merdeka semasa Himpunan Janji Bersih, Khamis lalu, polis meminta individu terlibat mempamerkan bendera bagi menggantikan Jalur Gemilang supaya tampil membantu siasatan.
   
Katanya, polis juga mahukan individu dalam insiden memijak dan menunjukkan punggung ke atas gambar pemimpin negara pada malam perhimpunan itu juga tampil memberi keterangan kepada polis.
   
"Kita menubuhkan pasukan khas ini bagi menyiasat ketiga-tiga insiden berkenaan termasuk yang berlaku semasa perhimpunan itu berdasarkan siaran gambar-gambar yang telah dihebahkan oleh pihak media. Kita minta individu-individu yang terlibat itu untuk tampil memberi keterangan.
   
"Sekiranya gagal tampil membantu siasatan, kita (polis) akan memburu dan mencari mereka serta mengenakan tindakan berdasarkan undang-undang yang ada," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Mohd Bakri berkata tindakan segelintir individu yang cuba membuat provokasi semasa perhimpunan itu boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara serta mewujudkan anasir negatif yang boleh menggugat keselamatan negara.
   
Beliau berkata berhubung insiden mempamerkan bendera baharu bagi menggantikan bendera Malaysia kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948, manakala kejadian memijak gambar pemimpin negara kes disiasat mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan mudarat serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
   
Katanya, insiden menunjukkan punggung terhadap gambar pemimpin negara boleh disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana cuba mengaibkan kehormatan seseorang.
   
Sementara itu, Mohd Bakri berkata berhubung satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Tun H.S Lee pada Rabu lepas, polis kini menyiasat laporan berhubung tindakan penganjur Himpunan Janji Bersih yang gagal memberi notis untuk berhimpun pada Khamis lepas.
   
Mohd Bakri berkata polis meminta penganjur tampil membantu siasatan kerana melanggar Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2011 iaitu gagal memberi notis 10 hari awal untuk berhimpun.   
   
Dalam pada itu, polis telah merakam keterangan lima saksi termasuk seorang pemandu bas berhubung insiden serangan dan simbah cat ke atas sebuah bas milik parti pembangkang di Kota Baharu, semalam.
   
Mohd Bakri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil memberi keterangan di balai-balai polis berhampiran. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...