Translate

14/09/2012

TAHNIAH PDRM - PERANGI LAH DADAH HABIS-HABISAN

Rampas dadah RM68 juta

MUAR: Pelbagai jenis dadah bernilai RM68 juta yang dirampas dari lima rumah yang terletak di dua lokasi berbeza sekitar bandar ini, Sabtu lalu dipercayai cukup untuk bekalan kira-kira 2.25 juta penagih.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, jumlah rampasan dadah itu yang terbesar dilakukan di Johor tahun ini. “Serbuan dilakukan jam 6.30 pagi di tiga unit rumah di Apartmen Pemandang Tanjung, Jalan Junid serta dua rumah lain sekitar bandar ini.


“Hasilnya, polis menahan lima lelaki dan dua wanita berusia antara 24 dan 50 tahun serta menemui dadah mentah, peralatan memproses dadah serta sepucuk pistol jenis HK P7 bersama tujuh butir peluru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.



Hadir sama Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.


Selain itu, menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM9,268, barangan kemas bernilai RM6,704 dan dua kereta jenis Toyota Estima serta Peugeot bernilai RM459,268.



Beliau berkata, dadah dirampas itu termasuk syabu seberat 34 kilogram (kg) bernilai RM6.8 juta, 13.9kg heroin (RM417,450), 41.8kg ketamin (RM836,500), 392.5kg serbuk dan pil Ecstasy (RM58.8 juta), 30,500 pil Eramin 5 (RM610,000) dan 698.8kg kafein bernilai (RM19,600).




“Dadah itu boleh dibekalkan kepada 2.25 juta penagih dan berdasarkan anggaran, ia bernilai RM68 juta, tetapi polis yakin nilainya di pasaran sebenar jauh lebih tinggi.


“Dadah itu dipercayai untuk pasaran sekitar Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur serta luar negara,” katanya.



Sabtu lalu, sekumpulan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Muar menyerbu tiga premis di apartmen berkenaan serta dua rumah lain yang dipercayai dijadikan makmal untuk memproses dadah.


Sindiket dadah berkenaan sudah beroperasi sejak lebih setahun lalu dan bagi mengaburi jiran, penjenayah meletakkan lebih 100 akuarium dan ikan kelisa di tingkat bawah rumah konon mereka menjalankan perniagaan berkenaan.



Ketika diminta mengulas berkaitan suspek, Mohd Mokhtar berkata, kelima-lima suspek iaitu tiga lelaki serta dua wanita itu didapati positif dadah jenis syabu. “Dua lagi suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan direman hingga 16 September.



“Kami sedang mengesan saki baki anggota sindiket berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) ADB1952, Seksyen 32 ADB (Perlucutan Harta) 1988 dan Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...