Khamis, 20 September 2012

Klip Video 'Innonence of Muslims' masih dapat mengakses di Youtube

KUALA LUMPUR - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengakui sukar untuk menghalang penyebaran klip video Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. di Malaysia atas alasan Uniform Resource Locator (URL) atau alamat web klip video itu berasal dari luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim  berkata, kebanyakan klip video filem berdurasi 14 minit itu telah disunting atau disalin daripada versi asal sebelum dimuat naik ke laman YouTube oleh pihak ketiga.
Katanya, klip video asal filem itu telah disekat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama enjin carian internet Google selaku pemilik YouTube.

"Namun selepas sekatan itu dibuat, muncul orang lain memuat naik banyak video yang sama dalam versi baharu dengan menggunakan alamat URL yang berbeza. Masalah ini sukar untuk kita halang kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Yogyakarta, Indonesia sewaktu menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan Asia dan Eropah (ASEM) Kelima semalam.
Kosmo! semalam melaporkan sekatan terhadap klip video itu tidak dilakukan secara menyeluruh memandangkan orang ramai masih boleh menontonnya di komputer peribadi atau telefon bimbit yang menggunakan pakej jalur lebar.
Rais berkata, pihaknya turut mengambil kesempatan membangkitkan isu penayangan filem itu pada mesyuarat tersebut dan berharap ia dapat membuka mata dunia untuk menghormati sistem perundangan di semua negara.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pakar komputer, Azli Paat berkata, penyebaran klip videoInnocence of Muslims masih boleh disekat sepenuhnya melalui kawalan pada peringkat penyedia perkhidmatan Internet (ISP) tempatan walaupun ia telah dimuat naik dari luar negara.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah-Alih Malaysia memberitahu, pengguna internet di negara ini yang ingin mengakses klip video berkenaan perlu melalui capaian ISP tempatan seperti Telekom Malaysia, Celcom dan Maxis terlebih dahulu sebelum boleh mengakses klip video daripada sumber asing.
Katanya, kerajaan menerusi SKMM boleh mengarahkan ISP tersebut membatalkan alamat URL klip video terbabit.
"Jika alamat URL sesebuah laman web itu dibatalkan pada peringkat ISP, carian yang dikehendaki oleh pengguna pasti tidak akan dijumpai.
"Jika ada klip video terbaharu yang keluar di YouTube, SKMM boleh minta ISP di negara ini menghalang aksesnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut Azli, SKMM tidak boleh terlalu bergantung terhadap Google dalam usaha menghalang penyebaran klip video itu kerana Google sebuah syarikat yang mempunyai kepentingannya tersendiri.
Katanya, Google juga ada kemampuan untuk menyekat akses kepada klip video tersebut melalui teknologi pengesanan video yang akan membaca terlebih dahulu kandungan video terbabit sebelum memberikan kebenaran untuk memuat naik.
"Sekarang saya lihat Google hanya menyekat alamat video berkenaan tetapi tiada sekatan untuk pihak lain memuat naik klip video yang sama," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...