Jumaat, 21 September 2012

DAP bimbang penyatuan UMNO-PAS

IPOH 19 Sept. - Kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang secara terbuka mempersoalkan protes umat Islam terhadap filem Innocence of Muslims adalah manifestasi kebimbangan parti itu terhadap sebarang usaha yang memungkinkan penyatuan UMNO dan Pas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, hakikat itu jelas kerana kenyataan Koo Ham tersebut merujuk kepada hasrat Pemuda UMNO bergabung dengan Dewan Pemuda Pas dalam perhimpunan membantah pembikinan filem tersebut Jumaat ini.

"Apabila ada ura-ura Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas ingin bersatu mengadakan bantahan, ia amat membimbangkan mereka khususnya DAP, takut akan adanya perpaduan di kalangan UMNO dan Pas.

"Koo Ham mesti faham walaupun ada perkara yang membezakan UMNO dan Pas dari segi politik, tetapi apabila menyentuh soal akidah umat Islam, tidak ada beza antara UMNO dan Pas apatah lagi ketika Rasulullah SAW dihina," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Kelmarin, Koo Ham menerusi laman Twitternya didakwa mengeluarkan soalan provokasi sebagai reaksi kepada hasrat Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bergabung dengan Dewan Pemuda Pas mengadakan protes terhadap filem arahan Sam Bacile itu.

Pada masa sama, Zambry turut membidas kenyataan Koo Ham itu yang seolah-olah menyatakan protes umat Islam di seluruh dunia adalah tidak bermanfaat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...