Ahad, 26 Ogos 2012

'Malaysia negara terbaik, pemimpin utamakan keselamatan rakyat'

IPOH 24 Ogos - Pelajar Malaysia di Syria, Mohd. Syafie Ahmad Shafawi, pernah mengagumi negara itu yang bukan sahaja memiliki pemandangan cantik tetapi juga dilimpahi nikmat keamanan dan kemakmuran ekonomi.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah akibat pergolakan politik yang berlaku sehingga menyebabkan kesengsaraan rakyat apabila ribuan nyawa terkorban atau menjadi pelarian manakala ekonominya pula jatuh merudum.

Bagi Mohd. Syafie, 27, pengalaman merasai sendiri keperitan hidup ketika pergolakan di Syria menyebabkan dia kini lebih menghargai negara sendiri.

Apabila berhadapan dengan keadaan itu, katanya, dia tidak perlu berfikir panjang untuk mengakui Malaysia adalah negara terbaik baginya.

''Di sana pemandangan memang cantik tetapi tiada makna apabila mereka berperang sesama sendiri sehingga sanggup membunuh.

''Malaysia pula berlainan kerana kita mempunyai pemimpin berkaliber dan sentiasa mengambil berat serta meletakkan keselamatan rakyat di tangga teratas," katanya.

Dia ditemui pada majlis ramah mesra pelajar Syria bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat Komunikasi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid baru-baru ini.

Mohd. Syafie iaitu antara tujuh anak jati Perak yang dibawa pulang Julai lalu berkata, berhadapan detik-detik mencemaskan dengan insiden berbalas tembak di hadapan mata merupakan kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.

''Saya minta generasi muda supaya hargai keamanan kita miliki. Kita perlu bersyukur dengan apa yang ada.

''Di negara ini, kita mempunyai kerajaan yang telah banyak membantu dan banyak juga yang telah kita terima. Oleh itu, kita perlu hargai dan sumbangkan semula khidmat bakti kepada negara," katanya.

Bagi Shahidan Abu Hanifah, 27, pula, bunyi tembakan dan kereta kebal yang melalui hadapan rumahnya setiap hari menyebabkan dia sekeluarga sentiasa hidup dalam ketakutan.

''Saya rasa bertuah kerana lahir dan tinggal di Malaysia. Di sini keadaannya aman sedangkan di negara lain nilai keamanan itu sangat mahal.

''Kali pertama menghadapi keadaan itu sungguh memeritkan. Mahu keluar membeli barang pun susah apatah lagi mahu keluar berjalan. Semua hidup dalam ketakutan," katanya.

Pendapat sama turut diakui adiknya, Siti Syawana, 22, yang berbangga menjadi anak Malaysia dan berasa beruntung dapat pulang menikmati keamanan di negara sendiri.

''Melalui pengalaman sendiri di sana, saya akui yang kita sangat beruntung menjadi rakyat Malaysia. Di sini aman dan tiada apa perlu ditakutkan," katanya yang merupakan pelajar tahun pertama di Mujamma Fatah Islami, Syria.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...