Rabu, 6 Jun 2012

VIP dan lokasi dikenal pasti dalang judi Euro?

Image Detail
KUALA LUMPUR 5 Jun - Beberapa individu termasuk orang kenamaan (VIP) di negara ini dikesan menjadi dalang yang menaja sindiket judi bola antarabangsa yang kini sedang menular sempena kejohanan bolasepak Euro 2012 yang akan bermula Jumaat ini.

Berdasarkan maklumat awal dan pengamatan menerusi Ops Soga yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras jenayah pertaruhan bola pada 1 Mei lalu itu, individu tersebut telah membuat pelaburan besar untuk mengerakkan operasi sindiket berkenaan.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang berkata, sindiket itu kembali beroperasi secara besar-besaran menjelang Euro 2012 yang akan membuat sepak mula Jumaat ini.

“Sindiket perjudian bola merupakan satu pelaburan yang membawa keuntungan mencecah berbilion ringgit dan ia membabitkan sindiket antarabangsa yang menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Berikutan itu, PDRM menerusi Ops Soga telah bersiap-sedia untuk membanteras gejala perjudian ini dan turut menjalinkan kerjasama dengan bahagian risikan serta Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan ahli sindiket termasuk dalang-dalang di dalam dan luar negara," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Aman di sini hari ini.

Difahamkan, pertaruhan yang dibuat oleh seorang individu mencecah RM300 hingga RM5,000 bagi setiap perlawanan.

Mohd. Bakri berkata, pihaknya juga mengenal pasti beberapa negara yang dijadikan sebagai pusat rangkaian Internet bagi pertaruhan judi bola dalam talian ini.

“Kejohanan itu melibatkan negara-negara Eropah dan tidak mustahil pusat rangkaian itu turut berpangkalan di benua tersebut," katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, beberapa negara di benua Asia turut dipantau kerana potensi yang ada untuk menjadi pusat rangkaian internet judi bola ini.

Tambah beliau, Ops Soga yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan itu telah dijalankan meskipun sepak mula Euro 2012 belum lagi berlangsung.

“Operasi dilakukan selama 24 jam dan membabitkan seluruh kontinjen serta daerah-daerah negeri yang akan membuat pemantauan secara berterusan bagi memastikan kegiatan bookie bola sepak Euro 2012 dapat dibanteras," tegasnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...