Isnin, 18 Jun 2012

Peningkatan Jenayah Komersial membimbangkan dan kronik

Image Detail
KUALA LUMPUR 16 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bimbang dengan kegiatan jenayah komersial di negara ini, berikutan statistik menunjukkan berlaku peningkatan kerugian berpunca akibat kegiatan itu dengan purata RM100 juta dilaporkan pada setiap bulan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, jenayah penipuan mencatatkan sebanyak 5,347 kes diikuti pecah amanah (1,237), jenayah siber (619), cakera padat digital dan video cakera padat (603) dan ah long (213).

Meskipun kes yang dilaporkan didapati menurun 17.6 peratus iaitu hanya 8,319 kes pada Januari hingga Mei lalu berbanding 10,100 kes dalam tempoh sama tahun lalu, tetapi jumlah kerugian dialami mangsa meningkat sebanyak 28.4 peratus.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pihaknya menerima purata 1,664 kes jenayah komersial membabitkan kerugian berjumlah kira-kira RM100 juta melibatkan mangsa rakyat tempatan dan asing berlaku di negara ini pada setiap bulan.

Beliau berkata, perbuatan penjenayah terutama warga Afrika yang menjadikan Malaysia sebagai hab menjalankan kegiatan penipuan telah menjejaskan imej dan memberi kesan tidak baik kepada pelaburan negara.

"Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, terdapat 8,319 kes jenayah komersial membabitkan kerugian RM595,829,464.67 dilaporkan berlaku di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,735 kes dan kerugian sebanyak RM162,321,191.

"Turut mencatatkan laporan kes yang tinggi ialah Johor sebanyak 1,302 kes dengan kerugian RM108,018,759.88; diikuti Kuala Lumpur 1,294 kes (RM212,417,464.34); Perak 619 kes (RM13,119,319.38); Sabah 544 kes (RM18,094,414.37) dan Pulau Pinang 514 kes (RM13,427,033.48)," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.

Ismail berkata, kes jenayah komersial paling banyak dilaporkan berlaku ialah tipu seperti penipuan pembelian kertas A4, peninggalan harta pusaka, penghantaran bungkusan dan hadiah oleh penjenayah warga Afrika di Internet; penipuan syarikat tidak wujud, bomoh palsu serta lelongan barang Jabatan Kastam dan polis iaitu 5,347 kes.

Beliau berkata, ia diikuti kes pecah amanah sebanyak 1,237 laporan, jenayah siber (619 kes), cakera video digital dan cakera padat video (603 kes), ah long (213 kes), pemalsuan (111 kes), salah guna harta dengan curang (79 kes), wang palsu (70 kes) dan lain-lain kes (41).

Mengenai warga Afrika, Syed Ismail berkata, setelah kegiatan penipuan cinta siber melalui laman sosial di Internet banyak dibongkarkan, mereka kini beralih memperdayakan ramai ahli perniagaan di luar negara dengan menawarkan pembelian kertas A4 palsu.

"Kegiatan penipuan kertas A4 membabitkan warga Afrika iaitu dari Nigeria melalui Internet kini semakin menjadi-jadi apabila sekurang-kurangnya empat kes dilaporkan berlaku sebulan.

"Mangsa pula membabitkan ahli perniagaan dari luar negara seperti United Kingdom, Australia, Iran, Iraq, Singapura, Hong Kong dan Taiwan," katanya.

Beliau berkata, suspek akan mencari mangsa melalui Google di Internet dengan menawarkan penjualan kertas A4 berkualiti dengan harga murah melalui syarikat yang kononnya didaftarkan di negara ini.

Menurutnya, mangsa yang dikehendaki membayar wang pendahuluan antara 10 hingga 30 peratus mudah terpedaya kerana diyakinkan dengan pelbagai dokumen dan surat syarikat atau agensi kerajaan yang dipalsukan.

Kata Syed Ismail, warga Afrika memilih Malaysia sebagai hub melakukan jenayah penipuan kerana mudah bagi mereka memasuki dan tinggal di negara ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen dan lain-lain agensi seperti bank untuk membanteras jenayah tersebut.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...