Translate

24/05/2012

'Saya pernah diajak sertai pembangkang'


Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendedahkan, beliau pernah dipelawa untuk menyertai sebuah parti politik pembangkang ketika masih berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Musa yang bersara pada 12 September 2010 berkata, pelawaan itu datang daripada presiden parti tersebut ketika beliau bertugas sebagai Ketua Polis Negara.

"Bagaimanapun, saya menolak pelawaan itu kerana dalam pasukan polis, kami tidak diajar untuk mencampuri urusan politik dan hal-hal lain dengan tugas.

"Sehingga sekarang, saya masih mengekalkan prinsip sama iaitu tidak akan terlibat dengan mana-mana parti politik kerana ia membuatkan saya lebih bebas untuk bersuara," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 4 Mei lalu, Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari menyertai Pas dengan alasan untuk membantu parti tersebut.

Borang keahlian Fauzi diserahkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Perdana Bekas Pegawai Tertinggi PDRM Sertai Pas di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang di Taiping, Perak.

Ditanya mengenai penglibatan bekas pegawai polis itu dalam politik berkata, Musa berkata, Fauzi berhak menyertai mana-mana parti politik kerana itu hak beliau selain kedudukannya yang sudah bersara.

Bagaimanapun, katanya lagi, beliau kini lebih selesa menghabiskan usia persaraan bersama ahli keluarga terutama dengan cucu-cucunya daripada melibatkan diri dengan politik.

"Saya lebih gembira melayan kerenah cucu-cucu kerana dulu semasa berada dalam polis saya kesuntukan masa untuk berbuat demikian.

"Oleh itu, mustahil jika saya menyertai parti politik ketika ini walaupun dipelawa. Dalam tempoh persaraan ini, saya tidak pernah lagi menerima pelawaan untuk menjadi ahli parti tertentu," ujarnya.

Musa kini bertugas sebagai tenaga pengajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi.

"Lebih elok saya menyampaikan ilmu kepada remaja tentang keselamatan negara serta mendidik mereka supaya dapat menjaga keselamatan negara pada masa depan.

"Saya gembira dapat menyumbangkan ilmu dan berkongsi pengalaman dengan pelajar kerana mereka adalah pewaris masa depan negara," kata beliau.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...