Khamis, 7 April 2016

Tindakan Adun Kijal Disifatkan Sebagai Dendam

KUALA TERENGGANU Tindakan Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang dilihat tidak berputus asa untuk memastikan berlaku pertukaran menteri besar di negeri ini disifatkan sebagai dendam.

Timbalan Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, Ahmad sepatutnya bersyukur kerana beliau tetap disokong rakyat negeri ini sebagai menteri besar walaupun pelantikan beliau ketika itu berlaku semasa kemelut menteri besar yang turut melibatkan Datuk Seri Idris Jusoh, selepas PRU 2008.

Beliau turut memberitahu bahawa Ahmad akan tetap menikmati pencen tidak seperti pihak-pihak lain yang berpenat lelah berjuang mempertahankan Umno dan BN.


“Sekurang-kurangnya beliau akan menikmati pencen dan elaun Adun yang besar lepas bersara nanti. Bahkan ada pejuang-pejuang dan penceramah-penceramah Umno yang tolong kempen BN tak dapat satu sen elaun pun dari kerajaan BN Terengganu dan Pusat tetapi tetap setia pada parti,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau turut meminta Ahmad bermuhasabah bahawa jawatan tidak akan selama-lamanya kekal kepada mana-mana individu, di samping menguruskan diri sebaik mungkin dengan kesenangan dan kesihatan yang dinikmati ketika ini.  

Sementara itu, mengulas kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Umno dan BN, beliau berkata, bekas pemimpin negara itu tidak berhak bersikap lantang menjatuhkan kepimpinan parti itu apatah lagi Mahathir bukan lagi ahli Umno.

Menurutnya, sikap Mahathir itu juga dipersoalkan lebih-lebih lagi dengan tindakannya keluar masuk ke dalam Umno yang pernah dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, jika Mahathir terlalu agresif mendedahkan kelemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas pemimpin itu juga tidak terlepas daripada beberapa isu dan skandal pada zaman pentadbirannya.

Antaranya isu kerugian berbilion ringgit dalam Perwaja Steel, tragedi Memali, Tabung Haji, tabung tentera, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemecatan Ketua Hakim Negara dan sebagainya.

“Tun Mahathir tak berhak lagi komen tentang Umno kerana beliau bukan lagi ahli Umno setelah dua kali keluar Umno dan dah dipecat zaman Tunku Abdul Rahman tetapi diambil dan diterima semula oleh Tun Abdul Razak. Apakah Tun Mahathir tak kenang jasa Tun Razak hingga beliau telah jadi Perdana Menteri (selama) 22 tahun dan kaya raya hingga ke anak cucunya,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...