Translate

07/09/2015

TAK DAPAT PROJEK, JADI PENGKHIANAT PARTI PULAK ???


KUALA TERENGGANU - Pas Negeri Terengganu hari ini mendesak Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu kerana sudah menyertai Parti Amanah Negara dan menjadi pengerusi untuk negeri Terengganu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, tindakan itu perlu dilakukan Ahli Parlimen terbabit berdasarkan baiah yang ditandatanganinya pada 18 April 2013 di Rusila, Marang.

"Beliau secara sukarela telah melafazkan sumpah baiah itu di depan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, saksi-saksi, kepimpinan Pas dan calon Pas untuk pilihan raya umum ke-13 pada 2013.


"Antara yang terkandung dalam lafaz sumpah itu ialah beliau perlu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen sekiranya meninggalkan parti, melompat parti atau dipecat," kata pada sidang media di sini, hari ini.

"Selain itu, lafaz sumpah yang dibaca ialah sekiranya beliau melakukan perkara tersebut, maka pendapatannya dan elaun yang diterima sebagai wakil rakyat itu adalah haram.

"Sebab Pas Terengganu mendesak agar beliau segera meletak jawatan kerana beliau sendiri yang bersetuju untuk melakukan baiah ini ketika mahu menjadi calon," katanya.

Bagaimanapun, lafaz baiah bagi calon pilihan raya di Terengganu tidak membabitkan taklik perceraian talak tiga bersama isteri mereka kerana ia hanya dilaksanakan di Kelantan, katanya.

Beliau berkata, desakan itu juga adalah selari dengan gesaan Abdul Hadi dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mahu anggota Pas yang memenangi kerusi Dun serta Parlimen supaya meletakkan jawatan sekiranya mereka menyertai Amanah.

Ditanya mengenai kemungkinan terdapat Adun atau Ahli Parlimen yang lain menyertai parti politik baharu itu, Satipul berkata pihaknya tiada lagi menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

Katanya sekiranya Raja Bahrin enggan meletak jawatan, terserah kepada rakyat untuk menilai integriti dan tahap profesionalisme anggota Parlimen itu.

Amanah telah dilancarkan secara rasmi di peringkat Terengganu pada Jumaat lepas di Dungun. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...