Translate

05/08/2013

Pemilihan Bahagian UMNO: Waspada Tingkah Laku Musuh Dalam Selimut


Pemilihan UMNO yang buat julung jkalinya akan menggunapakai Perlembagaan baru dianggap satu pembaharuan dengan pelaksanaannya berlangsung kemas sebagaimana perancangannya yang telahpun bermula, kata Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
Katanya, keteguhan UMNO didukung oleh struktur dan organisasi yang mantap namun demikian anggota parti perlu berwaspada agar tidak bersikap alpa kerana tentunya akan ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekeliruan dan huru-hara dalam parti.
“Sama ada dari dalam atau luar, kepimpinan parti dan ahli-ahlinya perlu sentiasa peka dengan manipulasi dan persepsi segelintir pihak yang mahu menghancurkan UMNO,” katanya kepada UMNO-Online.
Katanya, selama ini pun pakatan pembangkang banyak melemparkan tohmahan kepada UMNO namun dengan kekuatan, kesungguhan dan keyakinan yang ditanamkan dalam parti maka tentunya semua berita tidak benar dan hal-hal negatif berkaitan UMNO akan dapat ditepis.
“Prinsip demokrasi terbuka yang dilaksanakan dalam pemilihan akan datang akan memberi ruang kepada semua anggotanya maka tentunya ia akan mendapat sokongan dari akar umbi dan mematahkan tindakan mana-mana pihak yang berniat jahat pada UMNO.
“Pemilihan UMNO kali ini tentunya membawa ruang yang lebih terbuka, bersifat lebih meluas dan anggota parti akan dapat membuat lebih banyak pilihan untuk memilih pemimpin demi kesinambungan dan masa hadapan parti.”
Terang beliau lagi, dengan penglibatan seramai lebih 150,000 anggota UMNO bagi menentukan kepimpinan parti maka tentunya ‘empowerment’ yang lebih luas dapat dilaksanakan.
“Jumlah ahli yang ramai ini juga akan menolak tohmahan kepada UMNO setiap kali pemilihan yang akan dikaitkan dengan politik wang sebagaimana yang sering dilemparkan kepada parti ini.
Pelaksanaan berkaitan pemilihan UMNO telah pun berlangsung dengan lancar sejak bulan Jun bermula siri jelajah penerangan ke tiap-tiap negeri dan persidangan Cawangan bermula pada 15 Julai lalu hingga 31 Ogos 2013.
Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO akan berlangsung pada 5 Oktober depan dan Perhimpunan Agung UMNO 2013 akan diadakan bermula 2 hingga 7 Disember 2013 dengan pendaftaran calon bagi semua jawatan sama ada di peringkat ahli MT, peringkat Bahagian dan peringkat pergerakan sayap-sayap akan diadakan pada 7 September (Sabtu) di Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Sementara Persidangan sayap pergerakan dan pemilihan serentak sayap pergerakan akan berlangsung pada 28 September. - MediaUMNO


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...