Sabtu, 31 Ogos 2013

DAKWAAN RASUAH CEMARI PIALA MALAYSIA

PUTRAJAYA - Berhubung laporan media yang mendakwa rasuah kembali mencemari persaingan Piala Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memantau perkembangan tersebut dengan dekat, dan berharap mana-mana pihak yang ada maklumat wujudnya rasuah agar memberi kerjasama dengan melaporkan kepada SPRM untuk diambil tindakan sewajarnya.

SPRM akan menyiasat mana-mana kes yang ada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

SPRM juga ingin memberi jaminan akan memberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 kepada mana-mana pihak yang memberi maklumat mengenai isu ini. Dan, sekiranya kes rasuah bola sepak ini dibawa ke mahkamah, SPRM juga akan memastikan saksi-saksi terbabit turut diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

SPRM juga telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan mewujudkan Jawatankuasa Integriti bagi memastikan sukan bola sepak negara bebas gejala rasuah dan meningkatkan integriti. SPRM juga berharap persatuan-persatuan sukan yang lain akan mengambil langkah mewujudkan jawatankuasa integriti bagi memerangi rasuah. SPRM juga menyambut baik kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini yang memberi tempoh sebulan kepada semua persatuan bola sepak negeri untuk menubuhkan jawatankuasa integriti dalam usaha membanteras gejala rasuah dalam industri bola sepak negara.

Sejak 2009 hingga Julai 2013 SPRM telah menangkap 12 orang dan menuduh lima individu di mahkamah.

SPRM memandang serius gejala rasuah dalam bidang sukan. Justeru, kerjasama semua pihak amat penting bagi menangani habis-habisan masalah rasuah di arena bola sepak negara.

Sumber: SPRM

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...