Khamis, 27 September 2012

Bajet Pakatan tawar ‘lebihan wang di poket Wakil Rakyat’

BAJET BAYANGAN PAKATAN RAKYAT
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Belanjawan pakatan pembangkang yang dibentang Rabu disifatkan oleh pemimpin kerajaan sebagai kurang kredibiliti dan hanya untuk memancing undi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata ia merupakan satu lagi alat untuk menipu rakyat dengan janji-janji manis yang akhirnya tidak ditunaikan.

"Ia hanya untuk menipu rakyat untuk mengundi mereka dengan menabur pelbagai janji, tetapi tiada apa yang dilakukan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata bajet pembangkang yang dibentangkan hari ini lebih kepada 'angan-angan Mat Jenin' seorang pemimpin yang ingin menakluk kerajaan dengan cara menipu rakyat.

Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan menyifatkan belanjawan itu sebagai mustahil untuk dilaksanakan.

"Sebagai contoh, (dalam belanjawan pakatan pembangkang) mereka hendak buat lebuh raya antara Sabah dan Sarawak. Tengok di negeri-negeri mereka memerintah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, ada tak mereka buat lebuh raya?" katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung pula percaya apa yang dibuat oleh pembangkang tidak menunjukkan kredibiliti kerana ia dirangka secara tidak profesional dan akan meruntuhkan ekonomi jika dilaksanakan.

Mengulas cadangan belanjawan pembangkang untuk membatalkan 1Malaysia Development Berhad, Anggota Parlimen Setiu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata ini akan menggagalkan usaha kerajaan untuk membantu golongan Bumiputera. BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...