Translate

17/11/2011

Terengganu kekal juara 11 tahun berturut-turut UPSR




TAHNIAH !!!! Terengganu mengekalkan kedudukan sebagai juara 11 tahun berturut-turut dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), apabila sekali lagi mencatat keputusan terbaik UPSR tahun 2011, yang diumumkan hari ini.

Daripada keseluruhan 23,250 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun ini, 15.6 peratus mendapat keputusan semua A, iaitu meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun lalu (15.4 peratus).

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud berkata, pencapaian cemerlang itu berkat kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa, guru dan pelajar bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

“Al hamdulillah, tahun ini kita terus kekal di tangga teratas dan dengan pencapaian juga meningkat kepada 15.6 peratus berbanding 15.4 peratus tahun lalu,” katanya pada sidang media di pejabat JPNT hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPNT, Encik Hashim Mat Zin; Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Encik Shukor Awang dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Haji Mohd Zuber Embong.

Encik Razali berkata, tahun ini seramai 3,548 pelajar mendapat semua A dalam mata pelajaran menunjukkan peningkatan 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, 23,250 calon dari 348 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Kebangsaan Jenis (Cina) (SKJC) menduduki peperiksaan di 362 pusat peperiksaan seluruh negeri.

“ Peperiksaan tahun ini juga mencatat peningkatan dalam keputusan pencapaian minimum C iaitu 4.3 peratus daripada 66.8 kepada 71.1 peratus pencapaian terbaik berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pencapaian tertinggi bagi keputusan minimum C iaitu 69.7 peratus pada tahun 2007, tetapi tahun ini Terengganu memperolehi pencapaian 71.1 peratus di mana ia merupakan keputusan yang amat membanggakan.

Katanya, analisa yang diumumkan ini tidak mengambilkira calon dari sekolah swasta dan juga calon keperluan khas (pekak, rabun) yang turut mencapai keputusan terbaik di mana dua pelajar mendapat semua A dan tiga orang dapat 4A 1B.

Teks Ucapan Y.BHG. DATO’ SRI ABD. GHAFAR BIN MAHMUD, KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA mengenai PENGUMUMAN ANALISIS KEPUTUSAN UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2011

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...