Rabu, 22 Mei 2019

AMBIL TINDAKAN KEATAS PENGERUSI MASJID TENANG STATION, LABIS

JOHOR BAHRU 21 Mei - Semua pihak perlu menjunjung titah dan peringatan Sultan Johor supaya TIDAK BERCERAMAH POLITIK DALAM MASJID di negeri ini.

Ketua Biro Aduan MCA Johor, MICHAEL TAY CHEE BOON BERKATA, arahan itu wajib dipatuhi dalam menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum terutama umat Islam apatah lagi dalam bulan suci Ramadan.

Beliau kesal kerana masih terdapat segelintir masyarakat dan pemimpin Tionghoa yang tidak menghormati umat Islam.

“Ini tidak, malangnya selepas lebih 60 tahun merdeka dan tinggal bersama-sama, masih ada bangsa Tionghoa yang tidak boleh menghormati masyarakat lain termasuk makan di Bazar Ramadan selepas membeli makanan.

“Ada juga ahli politik yang tidak mahu faham sensitiviti masyarakat Islam apabila mendakwa memberi bantuan dalam masjid, sedangkan perkara itu boleh dilakukan di luar bangunan atau di pejabat,” katanya ditemui di Pejabat Ketua Biro Aduan MCA Johor di Taman Maju Jaya di sini hari ini.

Pada 10 Mei lalu, AHLI PARLIMEN LABIS, PANG HOK LIONG menyampaikan sumbangan dalam Masjid Tenang Stesyen, Labis, namun dituduh pihak tertentu berceramah politik.

Berikutan itu pada 16 Mei lalu Sultan Johor bertitah dan melahirkan kekecewaan terhadap perbuatan Hok Liong itu yang disifatkan Baginda sebagai biadab dan tidak beretika.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, perbuatan itu jelas meremehkan pegangan dan amalan agama Islam yang dibina sejak zaman berzaman di negeri ini selain mempunyai kepentingan tertentu walaupun sudah dimaklumkan tidak boleh berpolitik dalam masjid.

Mengulas lanjut, Chee Boon berkata, SEMUA RAKYAT YANG DILAHIRKAN DI NEGARA INI, DIBESARKAN DAN MENDAPAT PENDIDIKAN DI MALAYSIA SEPATUTNYA SUDAH FAHAM ISU SENSITIF SETIAP BANGSA DAN PENGANUT AGAMA MASING-MASING.

“Sebagai penduduk Malaysia, sudah pasti mereka membesar dan tinggal dengan rakan-rakan berbilang bangsa dan agama, sepatutnya mereka tahu sedikit sebanyak sensitiviti masyarakat lain.

“Menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semua ahli politik MCA tidak pernah memberi ceramah atau menyampaikan bantuan di dalam masjid di Johor sebelum ini.

“Terus terang saya katakan, kami (bangsa Tionghoa) kebanyakannya tidak faham mengenai Islam dan adalah lebih baik MENGELAK DARI MELAKUKAN PERKARA YANG BOLEH MEMBANGKITKAN KEMARAHAN,” katanya.

Selama ini pun katanya, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik seperti UMNO atau agensi kerajaan diwakili pegawai Melayu menyampaikan bantuan, namun tidak pula dalam gereja, kuil Budha atau kuil hindu.

“Jadi MENGAPA SEORANG AHLI POLITIK ITU MAHU MASUK KE DALAM MASJID,” soalnya. - UTUSAN ONLINE

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...