Sabtu, 16 Disember 2017

PAS DAN UMNO PERLU BEKERJASAMA MEMBENTUK NEGARA ISLAM SEJAGAT

MARANG - Pas mengakui sokongan ahli dan penyokong parti sahaja belum cukup untuk membuat perubahan dan masih memerlukan banyak sokongan termasuk daripada ahli Umno.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menghadapi cabaran dan gelombang politik yang banyak dalam tempoh 60 tahun.

"Walaupun demikian bukan sahaja parti ini tidak mati tetapi cahayanya tidak padam. Bahkan ahli-ahlinya makin bertambah.

"Untuk makluman semua... tahun ini kita menerima ahli baharu yang sangat mengejutkan. Jumlah 41,000 ahli baharu, tahun ini.

"Oleh kerana itu, jangan bimbang ada mereka yang 'serpih' itu keluar parti kerana mereka yang masuk parti lebih ramai," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian pada Jamuan Dana PRU14 Dewan Pemuda Pas Kawasan Marang di Dewan Tok Guru di Rusila, di sini, malam tadi.


Beliau berkata, Islam adalah seperti pokok subur dan rimbun, kalau dipotong dahannya bukan sahaja pokok tidak mati, akan ditumbuh tunas dan cabang yang banyak.

"Hari ini kita mempunyai 195 kawasan daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara bermakna sebahagian besar kawasan Parlimen sudah ada kawasan Pas.

"Kita perlu sedar negara kita yang mengamalkan demokrasi berparlimen memerlukan undi yang banyak untuk mendapatkan kuasa.

"Kita tidak boleh menang dengan ahli-ahli Pas sahaja, tidak boleh menang dengan penyokong-penyokong Pas sahaja. Kita perlu pada orang lain mengundi kita.

"Sama ada orang atas pagar, parti lain termasuk orang Umno sendiri mesti diajak mengundi kita untuk membuat perubahan politik negara kepada Islam," katanya.

Ini kerana, katanya, Malaysia sudah merdeka dalam masa cukup panjang iaitu 60 tahun merdeka namun banyak perkara negatif dan membimbangkan berlaku.

"Ancaman kepada Islam dan umat Islam, bukan kerana kita fanatik, taksub kepada Islam tetapi yang boleh menyelamatkan negara dan umat ialah Islam," katanya.

Beliau berkata, politik sangat mempengaruhi ekonomi dan masyarakat tetapi orang kita memandang ringan dalam masalah politik ini.

"Seperti disebut ketua Pas kawasan... pengundi muda lebih 50 peratus khususnya pengundi orang Islam yang merupakan 67 peratus penduduk Malaysia. Kaum lain berpecah pecah peratusannya," katanya.

Namun katanya, kesedaran orang Islam berkenaan politik tidak kuat dan tidak matang, masih banyak kalangan mereka termasuk orang muda sendiri merasakan politik tidak perlu dikisahkan dan diambil kira sangat.

"Mereka tidak sedar bahawa kenaikan harga barang, susahnya kos sara hidup, masalah jenayah dan masalah salah laku ialah kerana salah politik, salah mengurus negara tidak berdasarkan kepada dosa dan pahala diajarkan oleh Islam," katanya.

Sumber: KLIK DISINI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...