Isnin, 30 Oktober 2017

MCA JANGAN HIRIS HATI MELAYU

SEJAK bila orang Cina menyokong atau mengundi MCA? Atau MCA sahaja yang terlebih perasan? Selama ini bukankah MCA hanya menang di kawasan majoriti Melayu? Jika Umno tidak memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu, dan seterusnya menang, apakah MCA boleh jadi seperti adanya MCA pada hari ini? Mempunyai kekananan dalam jawatan Menteri  dan perkhidmatan awam. Tidak ketinggalan, mempunyai begitu banyak bangunan sendiri dan jutawan yang dilahirkan dengan nama yang berbeza-beza.

MCA ini tahu atau tidak percaturan politik? Bersyukurlah wahai parti Cina MCA. Sila ambil cermin paling besar dan lihat muka sendiri. Tanya diri sendiri? Semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sehingga ke hari ini atas ehsan siapa? Melayu atau Cina?

Jika terlampau ULTRA KIASU, berhentilah daripada menjadi ahli politik kerana kehadiran dan kemunculan kenyataan kamu amat mengguris hati-hati Melayu. Jangan hiris lagi hati mereka yang telah memenangkan kamu? Sedar dirilah bahawa keberuntungan yang kamu perolehi hari ini adalah ehsan orang Melayu.

MCA memperolehi 18 kerusi dalam PRU 13. Daripada tujuh (7) kerusi Parlimen MCA, enam (6) adalah majoriti Melayu ataupun lebih ramai pengundi Melayu daripada pengundi Cina. Manakala, daripada 11 kerusi DUN, 9 adalah majoriti Melayu ataupun lebih ramai pengundi Melayu daripada pengundi Cina. 


Dalam kata lain, sejumlah 15 daripada 18 kerusi MCA (ataupun 83.3%) adalah terletak di kawasan Melayu luar bandar. Mari kita lihat satu persatu kekuatan MCA.

Kerusi Parlimen dimenangi MCA PRU13. P148 Ayer Hitam, Melayu 58%, Cina 38%, 4% lain-lain, P135 Alor Gajah, 58% Melayu, 28% Cina, 14% lain-lain. P77 Tanjung Malim, 53% Melayu, 27% Cina, 20% lain-lain. P165 Tanjung Piai, 52% Melayu, 47% Cina, 1% lain-lain. P158 Tebrau, Melayu 48%, Cina 38%, 14% lain-lain, P89 Bentong, 45% Melayu, 44% Cina, 11% lain-lain, P142 Labis, 38% Melayu, 47% Cina dan 15% lain-lain. Kerusi Labis, undi India yang menentukan.

Lihat pula kerusi DUN yang dimenangi oleh MCA di kawasan majoriti Melayu. N1 Titi Tinggi, Melayu 76.15%, 20.81%, 3% lain-lain, N4 Cheka, Melayu 70%, Cina 24.08%, 6% lain-lain, N54 Pulai Sebatang, Melayu 64%, Cina 35%, 2% lain-lain, N35 Kulim, Melayu 61%, Cina 22%, 17% lain-lain, N15 Kelebang, Melayu 60%, Cina 37%, 3% lain-lain. N24 Bemban, Melayu 59%, Cina 24%, 17 lain-lain. 

Gurun, Melayu 57%, Cina 26%, 17% lain-lain. N10 Damak, Melayu 56%, Cina 34%, 10% lain-lain.  N46 Chenderiang, Melayu 36%, Cina 31%, 33% lain-lain. N8 Machap, 41% Melayu, 43% Cina,  16% lain-lain. N30 Paloh, 39% Melayu, 44% Cina, 17% Lain-lain. Machap dan Paloh Cina lebih sedikit sahaja. Masih boleh dikira kawasan majoriti Melayu jika diambil kira lain-lain.

Pendek kata, jika tiada Melayu, MCA berputih mata. Bayangkan dalam PRU 14, semua kerusi ini diambil atau diberikan semula kepada Umno, atas alasan ia kawasan majoriti Melayu dan Melayu sudah meluat dengan MCA kerana terlalu kecinaan, maka tidak ada satu kerusi yang akan dimenangi MCA. 

Sebab itu, MCA jangan berlagak seperti jaguh dan mengugut Umno dan Barisan Nasional yang diketuai Perdana Menteri. MCA sebenar tidak sekuat mana. Realitinya, DAP dan NGO Cina lain terlalu kuat dan berpengaruh dalam masyarakat Cina bukan MCA, mahupun Gerakan.

Sebenarnya ramai tidak tahu bahawa sebahagian Cina yang kaya raya hari ini, perantaranya adalah MCA dan Gerakan. MCA dan Gerakan melalui peranannya dalam kerajaan telah memperkayakan ramai Cina. 

Mana mungkin Genting Highland boleh tersergam indah di puncak bukit tanpa pengantara dan tanpa belas ehsan pemimpin Melayu memberikan tanah dan laluan untuk menerokai hutan balak tersebut. Begitu juga dengan projek-projek besar yang lain dan bangunan pencakar langit yang didirikan.

Bangunan Persatuan Cina, Hua Zong itu sendiri, yang tersergam indah di Serdang, tempat berlangsung Sidang Kemuncak Belia Cina Malaysia (TN50) sabtu lalu bersama Perdana Menteri (PM), adakah langsung tidak ada bantuan kerajaan? Lebih malang lagi, daripada jauh terpacak, Bahasa Cina di atas bumbung bangunan tersebut dengan tulisan ‘Hua’ bermakna Cina. 

Terpacaknya nama Cina di sebuah negara berasaskan kenegaraan Melayu. Semua dibenarkan atas dasar toleransi. Pernahkah dihargai? Cuba Hua Zong pacak perkataan ‘Hua’ itu di Thailand atau Indonesia. Agak-agak boleh dapat atau tidak? Tetapi, ianya dibenarkan di Malaysia.

Bersambung lagi: KLIK DISINI dan teruskan membacanya sehingga akhir.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...