Rabu, 11 Oktober 2017

ABANG MAT SABU CALON KETUA MENTERI PULAU PINANG???

Tak ramai yang mahu menebang hutan. Terpaksa berdepan dengan binatang buas, mungkin disengat ular, kala jengking atau tebuan. Di sana juga ada duri-duri berbisa selain hantu jembalang yang khabarnya berpuaka.
Begitulah ibaratnya ketika idea KETUA MENTERI MELAYU pertama Pulau Pinang julung kali saya lontarkan. Umpama menebang hutan—terutama ketika belum pernah dalam sejarah Malaysia mempunyai ketua menteri Melayu di Pulau Mutiara.
Pembenci akan terus membenci dan yang otaknya negatif kekal keras kepala.
Samalah halnya ketika gesaan menukar menteri besar Selangor selepas PRU ke-13 lalu. Ramai yang melatah dan mengamuk seperti orang dirasuk saka.
Konon kalau MB Tan Sri Khalid Ibrahim digugurkan, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor akan tumbang. BN akan mengambil alih. Paling tidak setahun setengah selepas PRU diperlukan untuk akhirnya idea itu berjaya.
Selepas Khalid diganti, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor berjalan elok. Rizab negeri tak berkurang sesen pun.

Saya menyebutkan nama presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon ketua menteri Melayu Pulau Pinang dalam forum di pejabat Malaysiakini Jumaat lepas sebagai reaksi balas kepada cadangan seorang lain panel, Khalid Samad. Beliau sebelumnya ditanya siapakah calon terbaik AMANAH dan diberikan nama Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Sebagai ahli panel saya juga punya cadangan. Bagi berlaku adil, saya tak menamakan hanya Dr Wan Azizah. Terlebih dahulu saya sebutkan pimpinan dari DAP iaitu Datuk Zaid Ibrahim, dan dari AMANAH iaitu presidennya, Mohamad Sabu. Juga berlegar nama-nama lain seperti ahli parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan mantan ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf.
Nama Zaid daripada DAP saya tegaskan dengan keyakinan beliau bukan sahaja boleh diterima oleh Melayu Pulau Pinang, tetapi juga kaum Cina, India dan lain-lain. Beliau seorang pemimpin yang terbuka, selalu rasional dan punya pengalaman sebagai menteri di era PM Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tidak ada alasan kenegerian Zaid tak boleh diangkat, kerana ketua menteri sekarang pun bukan anak jati Pulau Pinang. Pelantikan Zaid akan sangat menguntungkan DAP.
Begitu juga dengan nama Mohamad, atau mesra dipanggil “Abang Mat”. Umum tahu hubungan baik antara Abang Mat dengan Lim Guan Eng menjadikan Abang Mat ada kelebihan berbanding calon lain. Saya amat yakin wakil-wakil DAP tidak akan menolak Abang Mat. Dalam sekian banyak isu, Abang Mat mempertahankan DAP mati-matian.
Memang saya tak begitu pasti apa alasan sebenar Khalid menamakan Dr Mujahid. Mungkin kerana Dr Muhajid anak jati Pulau Pinang. Mungkin juga kerana Dr Muhajid merupakan pengerusi AMANAH negeri atau berkeperibadiannya yang berhemah sebagai antara pemikir utama di dalam AMANAH.
Sumber: KLIK DISINI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...