Ahad, 24 September 2017

MAHATHIR PRODUK ROSAK UMNO DAN KELUARAN UMNO YANG TERBURUK

SAYA mengimbau kembali kepada doa bekas Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor suatu ketika dahulu agar memberikan umur yang panjang kepada Tun Mahathir bagi dia melihat sendiri kerosakan yang beliau lakukan. Sehingga kini, Tun Mahathir telahpun berusia 92 tahun, satu umur yang dikira sangat panjang dengan keadaan kesihatan beliau masih kelihatan bagus. Dan alhamdulillah Tun kini bukan sahaja masih segar berdiri, malah beliau juga sekarang telah menjadi salah seorang yang aktif dalam pasukan penentang sistem yang beliau asaskan dahulu.

Jika dilihat dari mata kemajuan, sememangnya tidak dinafikan kepada sumbangan Tun kepada Malaysia. Namun, bukan penilaian kerosakan itu didasarkan kepada pencapaian materi tetapi kepada pencapaian nilai-nilai kemanusiaan melalui jalan agama sebagai seorang pemimpin umat Islam. Betapa rosaknya sistem yang kita warisi sehinggakan rasuah, penyelewengan sekarang berlaku di mana-mana sahaja. Ini jelas kerana Islam tidak diletakkan beliau di tempat yang sepatutnya.

Kerana perintah Allah tidak dijalankan dengan sepatutnya, maka sistem sekarang adalah mewarisi sistem yang rosak. Keberanian golongan bukan Islam mencabar kedaulatan Islam adalah disebabkan kelemahan yang jelas datangnya dari pemimpin Umno yang telah puluhan tahun memegang tampuk pemerintahan negara tetapi apa yang diberikan kepada kekuasaan Islam, amatlah sedikit, menghilangkan kegerunan golongan pembenci Islam kepada kehebatan agama ini.

Kini Tun Mahathir, setelah melakukan tekanan, kerosakan kepada Islam sehingga dilemahkan sebegitu rupa sepanjang pemerintahannya dahulu, beliau muncul kembali ke layar politik dengan membawa janji perubahan kepada rakyat. Tanpa beliau menyebutkan janji bagi memperkasakan Islam, beliau kelihatan membawa agenda sekular yang sama iaitu hanya mahu menukar tubuh badan pemerintah sahaja, bukan sistem. Lebih menarik, tiada minat beliau mahu menggantikan Umno, tetapi hanya mahu meneruskan legasi beliau dahulu melalui proksi beliau.

Paling jelas, beliau tetap menyerang PAS, walaupun menyatakan kononnya lawan utama beliau adalah Umno. Dengan fitnah PAS bergabung dengan Umno dan juga PAS menerima dedak daripada Umno, sehingga sekarang masih belum dapat dibuktikan, malah gambar beliau pula yang disiarkan bersama dengan pengarang Sarawak Reports. Begitulah bencinya beliau kepada apa juga agenda yang berkait dengan Islam, terutama yang dibawakan oleh PAS. Ini tidak menghairankan kerana boleh dilihat anakanda beliau yang jelas pernah terlibat menjadi pemilik kepada produk arak (KLIK DISINI) dan seorang lagi menjadi pejuang yang menentang undang-undang Islam sepertimana Tun, lebih-lebih lagi yang melibatkan hak wanita, tanpa rasa sesal menolak syariat.

Di kala mata rakyat memandang serius kepada beliau kerana isu pembunuhan rakyat Memali dan Suruhanjaya Diraja menyiasat kerugian Bank Negara melaburkan wang rakyat Malaysia lebih puluhan billion dalam urusniaga tukaran wang asing pada awal 90-an yang dibangkitkan kembali ketika ini, beliau dengan tenang menepis segala dakwaan itu dengan mengalihkannya kepada isu kafir mengkafir yang didakwa beliau kononnya dicipta PAS. Kemahiran membodohkan rakyat masih terserlah dalam gaya berpolitik Tun.

Ternyata produk rosak Umno ini, masih tegar mencari-cari ruang untuk membunuh PAS sedang dalam masa yang sama, rakyat sudah menyedari permainan beliau dan semakin muak dengan parti-parti yang menipu. Kehadiran Tun juga tidaklah menguatkan gabungan pembangkang yang walaupun mereka bersungguh-sungguh mendakwa semakin kukuh, hakikatnya semakin ramai yang keluar dari parti kalaupun tidak bercakaran sesama sendiri. Ini adalah bahana kesilapan mereka sendiri yang begitu percayakan Tun, IBARAT BERANGAN-ANGAN TELUR TEMBELANG BOLEH MENJADI TELUR EMAS.

PAS begitu mahir dengan tipu daya Tun, masih gagah berdiri tanpa kekacauan baik di dalam mahupun di luar kerana menolak sebarang kerjasama sama ada dengan Tun, Umno, DAP, PKR mahupun juga pengkhianat. Sebaliknya PAS dengan Gagasan Sejahtera, terus gagah berjalan ke medan tempur PRU dengan penuh istiqamah membawa panji-panji Islam bagi menjadikan tawaran kepada kehidupan rakyat yang penuh dengan keadilan di bawah syariat yang telah ditetapkan Allah. Dan tidak lama lagi, bagi membuktikan bahawa PAS sentiasa istiqamah di jalan Allah tanpa rasa gerun dengan kekalahan ataupun apa jua rintangan, di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, bakal berhimpun kira-kira 200,000 orang ahli dan penyokong PAS di situ bagi menzahirkan kesungguhan untuk menawan Terengganu.

Tiada keperluan PAS untuk mengambil tahu berkenaan Tun yang sudah diketahui rakyat, yang beliau adalah keluaran Umno yang buruk. Umno pula mewarisi segala kebejatan yang dilakukan bukan sahaja oleh Tun, tetapi juga pembesar-pembesar mereka yang lain. Mereka semua sama sahaja, bezanya siapa yang paling banyak membuat kerosakan. Mereka menjadi kumpulan yang rosak dan merosakkan. PAS akan pasti menjadi penyelamat kepada kerosakan ini bagi rakyat dan negara Malaysia ini. PAS istiqamah menuju kemenangan. Wallahua’lam.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Muharram 1439 / 23 September 2017 – HARAKAHDAILY 23/9/2017

Sumber: KLIK DISINI

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...