Rabu, 5 Julai 2017

MIMPI NGERI DAP DALAM PAKATAN

Tidak menguntungkan. Lantas DAP pun bersuara tidak cenderung pada idea Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat mahu memonopoli kuasa dan pengaruh dalam Pakatan Harapan (PH).

DAP pada asasnya tidak akan bersetuju dengan mana-mana langkah politik yang tidak memberi pulangan nyata. Ia boleh bekerjasama dengan sesiapa dan menurut strategi apa jua jika ia menguntungkan.

Sebab itu DAP sanggup bekerjasama dengan PAS beberapa kali meskipun percubaan sebelum itu gagal. Ia pernah menyertai Semangat 46 dan PAS dalam Barisan Alternatif dan Gagasan Rakyat. Terakhir sekali bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat.


Namun dalam kes mahu melonjakkan lagi kerjasama dalam PH yang bercita-cita bertarung dalam Pilihanraya Umum ke-14 menggunakan satu manifesto dan logo, DAP nyata tidak bersetuju dengan penstrukturan yang dicadangkan oleh PPBM.

Cadangan itu herot. DAP melihat PPBM cuba “mendominasi” PH dengan meletakkan Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamed dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin  pada posisi yang sama pula dalam struktur PH.

Dalam perkataan lain DAP membaca PPBM mahu “mengambil alih” kepimpinan pakatan itu. 
Keresahan ini disuarakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang melihat pakej cadangan PPBM itu sebagai tidak memenuhi aspirasi DAP, PKR dan Amanah.

"Saya tidak akan bersetuju jawatan pengerusi dan presiden (PH) diisi oleh BERSATU (PPBM). Ini adalah suatu monopoli dan penguasaan kawalan (terhadap PH)," katanya.

Jumaat lalu Majlis Presiden PH bermesyuarat mengenai struktur kepimpinan PH menjelang PRU ke-14 yang akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam masa terdekat. Difahamkan struktur itu akan diumumkan minggu ini.

Dr Mahathir dan Muhyiddin dinamakan sebagai Pengerusi dan Presiden PH, sementara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuma dicadangkan sebagai Penasihat gagasan itu sahaja.

Guan Eng masih kaget syor PPBM ini boleh diketahui pihak media namun yang pasti beliau menganggap butir sedemikian adalah tidak wajar dan tidak boleh beliau persetujui. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...