Sabtu, 10 Disember 2016

Raja Bahrin Ibarat Ayam Bergelumang Tahi ???

KUALA LUMPUR – “Ayam berkokok berderai derai, ekor sendiri bergelumang tahi,” kata Pegawai Pusat Penyelidikan PAS, Syed Ahmad Fadhli.

Beliau menujukan kata-kata itu ke atas pemimpin Pakatan Harapan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (PAN).
Menurut beliau, Raja Kamarul sejak menyertai PAN menyerang PAS dalam pelbagai isu tanpa menyedari kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu dimenangi atas tiket PAS pada tahun 2013.
Katanya, terbaru pemimpin Pakatan Harapan itu mendakwa isu kekejaman ke atas etnik muslim Rohingya yang diperjuangkan secara bersama oleh PAS dan UMNO dalam satu perhimpunan baru-baru ini kononnya telah lama diperjuangkan oleh beliau.

“PAS memperjuangkan isu Rohingya sudah begitu lama sejak sebelum wujudnya PAN lagi di atas muka bumi ini. Boleh dikatakan hampir setiap kali sidang Parlimen, Presiden PAS mengemukakan soalan isu Rohingya bahkan dalam ucapan perbahasan beliau juga turut menyentuh isu antarabangsa ini.
“Maka, harapnya kepada PAN khususnya YB Kuala Terengganu yang bising isu ‘hijack’ ini sedarlah diri kerana kerusi yang dia sedang wakili sekarang itu pun dimenangi atas tiket PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Ahmad berkata, usul tergempar isu Rohingya oleh Raja Kamarul selaku Ahli Parlimen Kuala Terengganu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, tetapi PAS pula yang dipersalahkan kerana kononnya sebab tidak ada Ahli Parlimen PAS bangun mempertahankan usul PAN.
Sebenarnya, jelas beliau, isu penolakan usul itu dibangkitkan pada hari terakhir sidang sebaik sahaja pindaan usul RUU 355 dibacakan oleh Presiden PAS.
“Lagipun sejak bila pula PAN masih berharap kepada pertolongan PAS?” Sindirnya. – MYNEWSHUB.CC

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...